Ibu Zayn Rayyan dibawa ke mahkamah untuk rekod pengakuan: Polis

12 Jun 2024 • 1:28 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Salah seorang daripada pasangan suami isteri yang juga ibu bapa kepada kanak-kanak autistisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dibawa ke mahkamah untuk direkodkan pengakuan di bawah Akta Keterangan 1950.

Ketua polis daerah Petaling Jaya, Shahrulnizam Jaafar ketika dihubungi Scoop bagaimanapun enggan mengulas siapa yang memberikan pengakuan itu.

Suspek akan dituduh di mahkamah esok, kata Shahrulnizam.

“Salah seorang (direkod pengakuan),’’ katanya yang enggan mengulas lanjut.

Di bawah Seksyen 26 (1) Akta Keterangan 1950, ia menyatakan tiada pengakuan salah yang dibuat oleh mana-mana orang semasa dia berada dalam jagaan seseorang pegawai polis boleh dibuktikan bagi menentang orang itu melainkan jika pengakuan salah itu dibuat di hadapan seorang Hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret.

Dalam pada itu, peguam kepada ibu Zayn Rayyan, Mahmud Jumaat selepas sidang media sejurus berakhirnya prosiding tertutup itu memberitahu Ismanira Abdul Manaf tidak membuat sebarang pengakuan bersalah dalam kamar di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Menurut Mahmud, hanya Ismanira yang dibawa ke mahkamah hari ini bagi prosiding berkenaan dan esok merupakan penentu sama ada pasangan itu atau salah seorang daripada mereka akan didakwa.

Terdahulu, Mahmud serta peguam yang mewakili bapa Zayn Rayyan, Fahmi Abd Moin tiba di mahkamah, masing-masing pada jam 11.15 pagi dan 11.20 pagi.

Turut kelihatan di mahkamah ialah ahli keluarga Zayn Rayyan.

Pada 31 Mei lalu, polis menahan pasangan suami isteri yang juga ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari serta Ismanira Abdul Manaf dan mereka ditahan reman selama enam hari sehingga 1 Jun lalu.

Namun pada 7 Jun, polis telah mendapatkan perintah untuk melanjutkan reman sehingga esok.

Isnin lalu, Ismanira turut dibawa ke lokasi kejadian pembunuhan di Apartment Idaman di Damansara Damai untuk melakonkan semula kejadian yang membawa kepada kehilangan dan penemuan mayat kanak-kanak berkenaan tahun lalu.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai kira-kira 200 meter dari rumah keluarganya pada 6 Disember tahun lalu. - 12 Jun, 2024