Pegawai penyiasat yang mengendalikan kes kehilangan Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen, ibu kanak-kanak autisme itu, Ismanira Abdul Manaf, tidak menunjukkan sebarang emosi ketika memberi keterangan berhubung kehilangan anaknya pada 5 Disember 2023.
Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin memaklumkan, ketika bertemu Ismanira di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai, wanita itu kelihatan ‘kosong’ sepanjang rakaman percakapan.
Menurutnya, laporan dibuat agak lewat kerana ibu mangsa cuba mencari anaknya sendiri sebelum menghubungi polis. Ismanira turut mendapatkan nasihat jiran dan berbincang dengan suami sebelum bertindak.
Dalam prosiding mahkamah, Nina Syamimi yang kini bertugas di Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Selangor, tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan semula detik rakaman percakapan dibuat. Katanya, Ismanira hanya diam tanpa sebarang reaksi dan gagal menjawab beberapa soalan yang dikemukakan.
Selepas menerima laporan kehilangan pada jam 5.51 petang, pegawai penyiasat meminta ibu mangsa hadir ke IPD Petaling Jaya bagi memberikan keterangan lanjut. Pada masa yang sama, seorang ketua blok Apartment Idaman memaklumkan ada individu melihat kelibat kanak-kanak dipercayai Zayn Rayyan di kawasan itu.
Pegawai penyiasat meminta Ismanira pulang ke rumah untuk pengecaman, namun dia berkeras mahu bertemu pegawai penyiasat di pejabat terlebih dahulu. Suaminya juga telah meninggikan suara dalam perbualan telefon.
Nina Syamimi kemudian tiba di lokasi kejadian untuk mendapatkan gambaran lebih jelas. Berdasarkan percakapan yang direkodkan, Ismanira memberitahu anaknya hilang ketika menaiki tangga. Ketika itu, dia membawa barang yang baru dibeli dan hanya menyedari kehilangan anaknya selepas tidak lagi mendengar bunyi tapak kaki di belakang.
Aqharie: “Ketika kamu mengambil rakaman percakapan pengadu bernama Ismanira ini bagaimana keadaan pengadu?”
Nina: “Semasa rakaman percakapan saya ada bertanyakan beberapa soalan kepada pengadu, pengadu tak dapat jawab soalan saya.”
Aqharie: “Soalan saya tadi, bagaimana keadaan pengadu ketika rakaman percakapan?”
Nina: “Keadaan pengadu ketika itu seperti kosong.”
Aqharie: “Apa maksud kosong?”
Nina: “Pertanyaan saya tidak dijawab, maksud kosong itu adalah tiada perasaan, tiada sebarang reaksi ketika itu.”
Prosiding bersambung esok.
Sumber: Harian Metro
The post ‘Ibu Zayn Rayyan kelihatan ‘kosong’ ketika beri keterangan’ – Pegawai Penyiasat appeared first on The Reporter.



