iCents raih projek RM34 juta bagi sistem penyejukan, pengudaraan pusat data

LocalBusiness & Finance
13 May 2026 • 9:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

iCents raih projek RM34 juta bagi sistem penyejukan, pengudaraan pusat data Image from: iCents raih projek RM34 juta bagi sistem penyejukan, pengudaraan pusat data liza13/05/2026 - 09:59 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Mei – iCents Group Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, VC Engineering Sdn Bhd memperoleh satu projek kerja subkontrak bernilai RM34.54 juta melibatkan pembangunan sebuah pusat data.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, iCents berkata kontrak tersebut merangkumi skop kerja subkontrak bagi pembekalan, penghantaran, pemasangan, ujian dan pentauliahan serta penyelenggaraan sistem penyaman udara dan pengudaraan mekanikal (ACMV).

 

VC Engineering Sdn Bhd akan bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan berkaitan sistem ACMV tersebut bagi memastikan operasi pusat data berkenaan dapat berfungsi dengan lancar dan menepati spesifikasi projek.

 

“Tarikh jangka siap projek adalah pada 15 Februari 2027 dengan tempoh pelaksanaan kira-kira hampir dua tahun untuk menyiapkan keseluruhan kerja subkontrak tersebut.

 

“Penerimaan kontrak ini tidak akan memberi kesan serta-merta terhadap modal saham, struktur pegangan pemegang saham mahupun tahap pinjaman Kumpulan,” katanya.

 

Bagaimanapun, kumpulan menjangkakan projek ini akan memberi sumbangan positif kepada aset bersih sesaham dan pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 serta tempoh selepas itu sehingga projek siap sepenuhnya.

 

Dari aspek risiko, syarikat menyatakan tiada risiko luar biasa dikenal pasti selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pelaksanaan projek pembinaan dan kerja-kerja kejuruteraan mekanikal.

 

Menurut syarikat lagi, pelbagai langkah mitigasi akan dilaksanakan bagi mengurus serta mengurangkan sebarang risiko operasi sepanjang tempoh pelaksanaan projek tersebut.

 

Lembaga pengarah iCents Group Holdings Berhad berpendapat bahawa penerimaan surat anugerah ini adalah sebahagian daripada operasi biasa kumpulan dan dianggap memberi manfaat serta kepentingan terbaik kepada syarikat dan pemegang saham. - DagangNews.com

Terkini standard