ICU JPM Kelantan rekod penurunan jumlah penduduk miskin Jan-Sept

3 Oct 2023 • 6:48 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA BHARU: Rekod Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) menunjukkan terdapat penurunan jumlah penduduk miskin di negeri itu dalam tempoh Januari hingga September lepas

Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan (PPNK) Jasri Kasim berkata jumlah ketua isi rumah (KIR) yang berada dalam kelompok miskin, telah berkurangan daripada 67,772 KIR kepada 52,652 KIR dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata penurunan ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti KIR berjaya meningkatkan pendapatan, selain anak-anak isi rumah ini sudah mula masuki alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

“Maklumat ini kita rekodkan menerusi statistik semasa e-Kasih Kelantan, malah kita masih lagi menerima permohonan e-Kasih ini,“ katanya kepada pemberita selepas Program Sesi Taklimat Pejabat Pembangunan ICU JPM Bersama Media di sini, hari ini.

Katanya jumlah golongan miskin tegar mencatat angka tertinggi di jajahan Kota Bharu yang melibatkan seramai 2,051 diikuti Pasir Mas (1,246), Tumpat (1,121), Bachok (1,084) dan Pasir Puteh (1,043).

Sementara itu Jasri berkata proses pelantikan penghulu atau Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP) dijangka selesai November nanti, dan prosesnya yang dikendalikan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu melibatkan 636 kampung di Kelantan.

“Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan memain peranan dengan menjadi penyelia kepada JPKKP, manakala ICU JPM bertindak sebagai jawatankuasa penilai,” katanya. -Bernama