Pasaran tablet global mencatatkan peningkatan kukuh sebanyak 13.1% pada Q2 2025 dengan 38.3 juta unit dihantar ke seluruh dunia. Menurut laporan International Data Corporation (IDC), pertumbuhan ini didorong oleh pelancaran model baharu, penggantian peranti lama, projek pendidikan, subsidi kerajaan di China, serta langkah vendor menambah stok awal di Amerika Syarikat.

Apple terus menguasai pasaran tablet dengan penghantaran sebanyak 12.7 juta unit pada suku kedua 2025, di mana meningkat 2.4% berbanding tahun sebelumnya. Lonjakan ini disumbang oleh pelancaran semula iPad 10.9 inci serta model iPad Air yang diperbaharui.
Samsung berada di kedudukan kedua dengan 7.2 juta unit dihantar lantas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.2%. Prestasi ini didorong oleh projek pendidikan di Amerika Latin dan strategi penghantaran agresif di Timur Tengah dan Eropah.

Lenovo masih di kedudukan ketiga dengan penghantaran sebanyak 3.1 juta unit yang meningkat sebanyak 25% berbanding tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini didorong oleh kejayaan model Tab M, Y700, dan Xiaoxin Pad Pro serta sokongan subsidi daripada kerajaan China.
Amazon kembali ke kedudukan keempat dengan 3.1 juta unut sekaligus mencatatkan lonjakan luar biasa sebanyak 205%. Peningkatan ini dikaitkan dengan kempen Prime Day dan strategi penambahan inventori menjelang jangkaan tarif.

Xiaomi berada di tempat kelima dengan jumlah penghantaran 2.8 juta unit dan meningkat sebanyak 42%. Prestasi ini disokong oleh model-model popular seperti Pad 7 dan Redmi Pad SE, serta pelancaran tiga tablet baharu iaitu Pad 7 Ultra, Pad 7S Pro, dan Redmi K Pad.

