Identiti lelaki rentung di ladang sawit dikenal pasti

25 Mar 2024 • 5:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan di kawasan kebun kelapa sawit di Bukit Karung, Semeling pada pagi Jumaat. Foto ihsan pembaca

ALOR SETAR - Polis telah mengenal pasti identiti mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan rentung di sebuah kebun kelapa sawit di Bukit Karung, Semeling di Merbok, Sungai Petani, Jumaat lalu,

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, mangsa berusia 60-an merupakan orang kurang upaya (OKU) hasil pengesahan ahli keluarga mangsa.

"Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 60-an dan merupakan OKU.

"Buat masa ini, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana kita tengok tiada unsur-unsur jenayah, bagaimanapun siasatan masih sedang dijalankan," katanya pada sidang media sempena Hari Memperingati Polis Ke-217 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, pada Isnin.

Fisol turut memaklumkan, polis masih menanti laporan penuh bedah siasat daripada Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Setakat ini, jelas beliau, polis sudah menemu bual keluarga mangsa dan siasatan masih dilakukan.

Pada Jumaat lalu, Astro Awani melaporkan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan terbakar lebih 90 peratus di sebuah kebun kelapa sawit di Bukit Karung, Semeling.

Mayat itu ditemui oleh seorang penjaga kebun buah-buahan ketika sedang menghalau kera yang memasuki kebunnya. - Awani