IGB REIT dijangka kekal berdaya tahan pada 2HFY23 berikutan kadar pembaharuan sewa hampiri tahap sebelum pandemik
diyana
06/07/2023 - 12:12
KUALA LUMPUR 6 Julai - AmInvest Research menjangkakan IGB REIT kekal berdaya tahan pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) memandangkan kadar pembaharuan sewa menghampiri tahap sebelum pandemik.
Firma penyelidikan itu berkata IGB REIT telah menyelesaikan pembaharuan sebahagian besar pajakan yang tamat tempoh dalam tahun kewangan 2023 (FY23) pada kadar 4% sehingga 6%, disokong oleh peningkatan jualan runcit, di mana ia menggunakan pendekatan proaktif dengan memuktamadkan pembaharuan sewa sembilan hingga 12 bulan lebih awal.
“Dengan momentum jualan positif berterusan, kami yakin bahawa majoriti pajakan yang ditetapkan untuk tamat tempoh pada FY24 akan berjaya diperbaharui pada 2HFY23, dengan pengembalian sewa menghampiri tahap sebelum pandemik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di samping itu, pusing ganti sewa (turnover rent) yang diperoleh daripada jualan penyewa kekal berdaya tahan pada 2HFY23, dirangsang oleh trafik yang teguh daripada pembeli domestik dan peningkatan dalam jualan runcit.
Jelasnya, unjuran jualan runcit lebih kukuh, disokong oleh ramalan pasukan AmInvest Research terhadap kadar pertumbuhan jualan runcit sebanyak 6.4% YoY pada 2HFY23 berbanding 5.2% YoY pada 1HFY23, memandangkan sentimen pengguna bertambah baik disebabkan jangkaan tiada lagi kenaikan kadar faedah dan peningkatan dalam pasaran buruh.
Sementara itu, firma itu turut menjangkakan pengambilalihan pusat membeli-belah Mid Valley Southkey di Johor berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan utama untuk IGB REIT dalam jangka panjang.
“Kami menjangkakan bahawa pengambilalihan Southkey Mall akan menjadi kenyataan apabila pusat membeli-belah itu telah mencapai hasil yang memuaskan.
“Ini perlu mengambil sekurang-kurangnya dua kitaran sewa penuh (tiga tahun setiap satu) dari tahun operasi pertamanya pada FY19, dengan mengambil kira masa yang diperlukan untuk penyewa matang. Oleh itu, kami menjangkakan pemerolehan akan berlaku paling awal pada FY25,” jelasnya.
AmInvest Research turut menjangkakan sebaran hasil dari FY23 dan seterusnya akan melebar kepada 2% berbanding median lima tahun sebanyak 1% justeru IGB REIT dijangka menarik minat pelabur yang mencari hasil dengan sebaran hasil pengagihan yang lebih tinggi berbanding Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun.
Tambahnya, hasil pengagihan IGB REIT bagi FY24 sebanyak 6% adalah menarik berbanding hasil MGS 10 tahun sebanyak 3.9%.
AmInvest Research mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) tidak berubah sebanyak RM1.92 seunit.
Saham IGB REIT pada pukul 12 tengahari ini telah susut 4 sen atau 2% kepada RM1.97 dengan modal pasaran berjumlah RM2.68 bilion.


