amree28/09/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept — Industri perhotelan Malaysia bakal menyaksikan lebih banyak peluang penukaran dan penjenamaan semula hotel dengan IHG Hotels & Resorts memperkenalkan model operasi secara francais buat pertama kali di negara ini.
Langkah baharu tersebut hadir menerusi perjanjian portfolio dua hotel dengan King Park Hotel Sdn Bhd, yang turut menandakan kemunculan sulung jenama Garner di Malaysia serta perluasan operasi kumpulan perhotelan antarabangsa itu ke Tawau, Sabah.
Menurutnya dalam kenyataan, di bawah perjanjian berkenaan, King Park Hotel Kota Kinabalu akan dijenamakan semula sebagai Garner Hotel Kota Kinabalu dengan jumlah 106 bilik, serta tambahan 96 bilik lagi yang dijangka beroperasi menjelang 2029.
"Sementara itu, Holiday Inn Express Tawau yang ada 140 bilik bakal menjadi hotel pertama IHG di Tawau apabila dibuka pada 2028 selepas melalui pengubahsuaian besar terhadap King Park Hotel Tawau," jelas IHG yang berpangkalan di London, Britain.
Kumpulan itu yang sebelum 2021 pernah dikenali sebagai InterContinental Hotels Group, memiliki lebih 7,000 hotel di lebih 100 negara di bawah 21 jenama berbeza dengan lebih sejuta bilik, antaranya Holiday Inn, Crowne Plaza, Six Sense dan The Regent.
Naib Presiden Pembangunan IHG Asia Tenggara & Korea, Bryan Chan, berkata pengenalan model francais itu menjadi pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan kumpulan tersebut di pasaran rantau Asia Tenggara, terutamanya di Malaysia sendiri.

Ujar beliau, model berkenaan dapat membolehkan IHG untuk membuka lebih banyak peluang penukaran dan penempatan semula aset hotel, termasuk hotel berstatus persendirian serta hotel yang sebelum ini beroperasi di bawah jenama antarabangsa lain.
"Perjanjian ini juga dijangka meningkatkan kehadiran IHG di Kota Kinabalu kepada sebanyak lima hotel yang sama ada telah beroperasi dan dalam perancangan, selain memberikan kumpulan itu tapak operasi pertamanya di Tawau," tambahnya lagi.
King Park Hotel yang merupakan anak syarikat Hass Enterprise Sdn Bhd, kumpulan pelaburan milik persendirian beribu pejabat di Miri, Sarawak, melihat Kota Kinabalu mempunyai potensi pertumbuhan disokong lokasi sebagai pintu masuk Sabah kepada destinasi pelancongan utama.
Antaranya termasuk Gunung Kinabalu dan Taman Laut Tunku Abdul Rahman, manakala Tawau pula merupakan pusat komersial penting di Pantai Timur Sabah selain mempunyai akses kepada lokasi selam bertaraf dunia serta tarikan alam semula jadi.
Dengan kemasukan dua hotel baharu tersebut, IHG kini mempunyai sejumlah lebih 20 hotel yang sedang beroperasi dan dalam perancangan di Malaysia, merangkumi destinasi bandar serta resort di seluruh negara. - DagangNews.com
