IHH Healthcare ambil alih keseluruhan pegangan Bedrock Healthcare dalam Pusat Perubatan Timberland berharga RM245 juta
azan
10/08/2023 - 18:22
KUALA LUMPUR 10 Ogos - IHH Healthcare Berhad menerusi anak syarikatnya, Pantai Holdings Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Saravita Holdings Sdn. Bhd. dan sembilan pengasas individu bagi mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Bedrock Healthcare Sdn. Bhd. berharga RM245 juta.
Kumpulan itu berkata, pengambilalihan bagaimanapun tertakluk kepada pelarasan penutup dan ia akan dibiayai sepenuhnya secara tunai.
Bedrock Healthcare menerusi anak syarikatnya mengendalikan hospital dengan 82 katil, iaitu Pusat Perubatan Timberland di Kuching dan memperuntukkan tanah kosong bandar Kuching untuk pembinaan hospital baharu dengan kapasiti 200 katil.
"Pengambilalihan itu akan memperluaskan jejak IHH ke Sarawak dan membolehkan mereka meningkatkan operasi Timberland melalui hospital baharu.
"Pengambilalihan itu dijangka selesai pada separuh pertama 2024, tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan pemenuhan syarat-syarat terdahulu selaras dengan SPA," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Setelah selesai pengambilalihan itu, Bedrock Healthcare dan anak-anak syarikatnya akan disatukan sebagai anak-anak syarikat IHH.
Pemerolehan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan IHH dan pegangan saham.
"Ia juga dijangka tidak mempunyai kesan material ke atas pendapatan, aset bersih atau penggearan IHH bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023," katanya. - DagangNews.com

