IIM, Kerajaan Sarawak jalin kerjasama strategik perkukuh nilai integriti dan antirasuah

15 Sep 2023 • 10:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IIM, Kerajaan Sarawak jalin kerjasama strategik perkukuh nilai integriti dan antirasuah

zulfadli

15/09/2023 - 10:37

KUALA LUMPUR 15 Sept - Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Kerajaan Sarawak melancarkan Modul Integriti Penguat Kuasa Sarawak (MIPS) dan Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) bersempena penganjuran Majlis Amanat Perdana Integriti (MAP-i) 2023, baru-baru ini.

IIM berkata, pihaknya menerusi insiatif pembangunan modul MIPS dan MIKM berupaya mendokong aspirasi “Pertiwiku Berintegriti” dalam memperluas perkongsian mengenai integriti ke peringkat akar umbi.

Katanya, ia secara langsung dapat membawa kepada penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan sekali gus mewujudkan nilai pembangunan yang mampan kepada rakyat Sarawak.

"MIPS yang telah dilaksanakan mulai 12 Jun lepas merupakan komitmen IIM bersama Unit Integriti & Ombudsman Sarawak (UNIONS) bagi meningkatkan kefahaman dan penghayatan pegawai penguat kuasa Sarawak mengenai integriti dan etika dalam menjalankan tugasan dan tanggungjawab.

"Sejak ia dilaksanakan, modul ini tmemanfaatkan seramai 59 penguat kuasa Sarawak daripada pelbagai agensi dengan menerapkan tiga submodul utama mengambil kira konsep dan falsafah integriti; integriti sebagai seorang penguat kuasa; dan pembudayaan integriti dalam organisasi.

"Tiga submodul yang dimaksudkan adalah Pengenalan Etika dan Integriti; 'Do The Right Thing vs Do Things Right'; dan Pembudayaan Integriti dalam Organisasi," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, MIKM yang mula dilaksanakan sejak 14 Jun lepas di Sibu, Sarawak telah membantu lebih30 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang terdiri daripada penghulu, kapitan, tuai rumah dan ketua kampung.

image is not available

Katanya, modul ini secara langsung dilihat dapat meningkatkan tahap pemahaman nilai-nilai integriti dalam kalangan KMKK di Sarawak sebagai panduan dalam membina kompetensi asas bagi membentuk pemimpin masyarakat berintegriti, mempunyai kepimpinan baik serta mampu menjadi ikon kepada komuniti setempat.

Terdahulu, majlis tersebut dirasmikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi IIM, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nor Yahati Awang.

Pada majlis itu turut berlangsung pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara IIM dan Kerajaan Sarawak bagi menjalin kerjasama strategik khususnya membangunkan program-program, melaksanakan penyelidikan dan penerbitan merangkumi aspek kesedaran dan advokasi berkenaan dasar dan pembudayaan nilai integriti, governans dan antirasuah dalam sektor korporat serta sektor awam secara umumnya di Sarawak.

image is not available

Disamping penganjuran MAP-i 2023, turut diadakan Persidangan Integriti Kebangsaan (PiNK) hari ini yang diwakili oleh Ahli Lembaga Pengarah IIM, Datuk Seri Akhbar Satar bertajuk 'Leading Governance With Integrity'.

Majlis ini dihadiri lebih 4,000 peserta merangkumi penjawat awam negeri dan persekutuan, institusi keagamaan, agensi penguatkuasaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain, manakala seramai 12,000 peserta menyaksikannya secara maya. - DagangNews.com