IJM, FMM Elmina bekerjasama bangunkan dua hab logistik di Shah Alam
diyana
17/07/2023 - 16:55
KUALA LUMPUR 17 Julai - IJM Corporation Berhad, melalui anak syarikatnya IJM RE Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian usaha sama dengan FMM Elmina Sdn Bhd untuk membangunkan dua hab logistik tercanggih di Bandar Elmina, Shah Alam.
Dalam satu kenyataan media hari ini, IJM berkata kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian langganan dan pemegang saham bagi menubuhkan Exio Logistics Sdn Bhd, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang bertanggungjawab untuk pembinaan dan pembangunan hab logistik itu.
IJM akan memegang 50% kepentingan dalam SPV, manakala 50% lagi akan dipegang oleh FMM, iaitu syarikat milik Tan Sri Teo Chiang Hong, Mettiz Capital Sdn Bhd dan Minlon Sdn Bhd.
Menurut kumpulan itu, pembinaan kedua-dua hab tersebut dijadualkan bermula pada awal 2024 di atas tanah pegangan bebas seluas 8.9 hektar di Bandar Elmina dengan ruang lantai seluas 500,000 kaki persegi dan kapasiti 110,000 kedudukan palet.
Jelasnya, hab dinamakan Storio dan Storio Hub 2 itu akan menyediakan rumusan perindustrian dan logistik yang cekap dengan kepakaran bertaraf dunia dan ciri hijau yang mampan.
IJM berkata hab logistik itu akan disewakan sepenuhnya kepada Storio Sdn Bhd, syarikat milik pemegang saham FMM, yang akan menjadi pengendali dan penyewa utama.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM, Lee Chun Fai berkata pembangunan hab logistik ini akan menjadi transformatif, memenuhi keperluan perniagaan yang semakin meningkat dan membentuk sektor logistik.

“Pengembangan kami ke dalam sektor hartanah perindustrian mengukuhkan lagi komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian komprehensif merentas industri.
“Selain itu, ia memberi peluang kepada IJM untuk melabur dalam kelas aset utama, mendapatkan hartanah logistik premium yang menjana pendapatan pajakan berulang,” ujar beliau.
Perkembangan ini dijangka menjadi pertama daripada siri hab logistik bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pengurusan cekap rantaian bekalan dan perkhidmatan logistik.
Perkongsian itu termasuk potensi Exio Logistics untuk meneroka pembangunan kemudahan tambahan di pelbagai lokasi, termasuk portfolio bank tanah hartanah IJM dan kawasan lain yang bersesuaian.
Dalam masa yang sama, IJM berkata rakan kongsi usaha sama itu turut menandatangani perjanjian jual beli dengan Sime Darby Property (City of Elmina) Sdn Bhd untuk membeli tanah seluas 8.9 hektar tersebut. - DagangNews.com
