
PETALING JAYA: IJM Land Seremban 2 memperkenalkan kempen pemilikan kediaman yang menawarkan tiga kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS 5 Premium bernilai keseluruhan RM209,400 serta pemasangan panel solar percuma bagi pembeli rumah terpilih.
Kempen Shock and Shiok yang berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Disember 2026 itu menyasarkan pembeli di pembangunan terpilih di Seremban 2, termasuk Sutera Fasa 1 dan 2, Batiq Fasa 1, Nova Fasa 1 dan 2 serta Vio Banj’ran.
Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, kempen itu mencerminkan perubahan keperluan pembeli rumah yang kini bukan sahaja mempertimbangkan lokasi dan reka bentuk kediaman, malah kos sara hidup, penggunaan tenaga dan keperluan mobiliti pada masa hadapan.
Beliau berkata, pendekatan itu menggabungkan insentif pemilikan rumah dengan kemudahan yang menyokong penggunaan kenderaan elektrik serta perancangan tenaga isi rumah dalam jangka panjang.
“Pembeli kini melihat kediaman lebih daripada sekadar ruang fizikal. Mereka mahu mengetahui bagaimana rumah dapat menyokong pergerakan harian, penggunaan tenaga dan perancangan kewangan isi rumah untuk jangka panjang.
“Melalui kempen ini, kami menggabungkan mobiliti EV, sokongan solar dan kehidupan dalam perbandaran bagi menawarkan nilai praktikal yang berterusan selepas pembelian rumah,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi kempen itu, pembeli yang layak berpeluang memenangi satu daripada tiga Proton e.MAS 5 Premium baharu yang dibiayai sepenuhnya oleh IJM Land Seremban 2.
Selain itu, kediaman yang mengambil bahagian dilengkapi titik pengasing pengecasan kenderaan elektrik (EV-ready charging isolator) terbina dalam bagi membolehkan pemilik membuat persediaan untuk penggunaan kenderaan elektrik.
Pembeli yang layak bagi pembangunan Sutera, Batiq dan Nova turut menerima panel fotovolta suria (PV) secara percuma sebagai sebahagian daripada usaha menyokong penggunaan tenaga di kediaman.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ciri berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha IJM Land memastikan pembangunan perbandarannya terus memenuhi perubahan gaya hidup dan keperluan isi rumah.
“Pemilikan rumah yang bersedia untuk masa hadapan perlu menawarkan manfaat yang praktikal dalam kehidupan seharian.
“Dengan menggabungkan mobiliti EV, sokongan solar, kemudahan perbandaran dan kawasan hijau, kami mahu menyediakan persekitaran kediaman yang menyokong penggunaan EV, perancangan tenaga isi rumah yang lebih baik serta keyakinan keluarga untuk jangka panjang,” katanya.
Menurut IJM Land, Seremban 2 mempunyai ekosistem perbandaran matang yang merangkumi kawasan kediaman, kemudahan komersial, akses pendidikan, rangkaian perhubungan, kemudahan komuniti, taman dan kawasan landskap hijau.
Gabungan kemudahan itu melengkapkan usaha menyediakan kediaman yang bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah mengambil kira perubahan corak penggunaan tenaga dan mobiliti penduduk pada masa hadapan. – UTUSAN
The post IJM Land tawar ganjaran Proton e.MAS 5, sokongan solar di Seremban 2 appeared first on Utusan Malaysia.


