hamden21/07/2026 - 13:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Julai - IJM Corporation Bhd (IJM) meningkatkan sasaran pengisian semula buku tempahan jangka pendek kepada RM9 bilion, merangkumi RM6 bilion projek domestik dan RM3 bilion projek luar negara, menurut Kenanga Research.
Dalam nota penyelidikan, firma itu berkata sasaran terbaharu tersebut adalah sejajar dengan andaian asasnya iaitu RM5 bilion setahun bagi pasaran Malaysia dan RM3 bilion setahun bagi pasaran antarabangsa untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (FY2027) dan FY2028.
Kenanga Research berkata, saluran projek domestik IJM kini disokong kukuh oleh pakej pusat data margin tinggi serta dua projek berkaitan semikonduktor, yang dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan segmen pembinaan kumpulan.
"Pemangkin jangka pendek utama termasuk pemuktamadan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Pulau Pinang (Pakej 2) menjelang pertengahan tahun, selain potensi pelaksanaan projek perumahan penjawat awam Nusantara bernilai lebih RM1 bilion di Indonesia menjelang akhir tahun," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Pandangan itu dibuat selepas Kenanga Research mengadakan lawatan tapak ke projek IJM di United Kingdom (UK) baru-baru ini.
Di UK, Kenanga Research berkata IJM mempunyai tiga projek hartanah utama yang sedang dirancang iaitu Finsbury Circus di City of London, Royal Mint Gardens (Fasa 2) dan The Wheat Quarter di Welwyn Garden City.
Strategi IJM di UK
Firma penyelidikan itu menyifatkan projek-projek berkenaan sebagai aset berisiko rendah dengan kadar penghunian tinggi yang mampu menjana pendapatan berulang yang kukuh.
Menurut Kenanga Research, strategi IJM di UK memberi tumpuan kepada sektor berpulangan tinggi serta mempunyai kekangan bekalan, termasuk pejabat komersial di City of London yang mencatatkan kadar kekosongan projek baharu di bawah 2%, selain segmen perumahan pelajar dan kediaman bersama (co-living) yang mempunyai permintaan tinggi.
"Pada masa sama, IJM mengelakkan pembangunan kediaman tradisional kecuali projek berkenaan boleh dinyah risiko sepenuhnya melalui jualan institusi menerusi pembiayaan hadapan (forward-funding)," katanya.
Sementara itu, Kenanga Research berkata pengambilalihan JRL Group oleh IJM mula menunjukkan hasil positif apabila syarikat tersebut kembali mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak £2.9 juta (kira-kira RM15.93 juta), berbanding kerugian £49 juta sebelum ini.
Prestasi itu, ditambah dengan buku pesanan bernilai £2 bilion daripada kontrak luaran yang mempunyai margin tinggi, meletakkan IJM pada kedudukan kukuh untuk mendapatkan semula pelaburan awal sebanyak £50 juta sepenuhnya menjelang 2028.
Secara keseluruhan, Kenanga kekal positif terhadap penilaian segmen pembinaan IJM dengan mengekalkan harga sasaran berasaskan jumlah bahagian (SOP) sebanyak RM3.40 serta penarafan "Outperform" terhadap syarikat pembinaan berkenaan.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu turut mengingatkan beberapa risiko yang boleh menjejaskan prestasi IJM termasuk aliran kerja pembinaan yang kekal lemah, peningkatan kos bahan binaan, lebihan kos projek serta liabiliti berkaitan ganti rugi kelewatan ditetapkan. - DagangNews.com






