IKEA Malaysia kini miliki sijil halal JAKIM di semua restoran, kafe dan bistro

24/09/2025 - 16:19
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 24 Sept – Semua restoran, kafe dan bistro milik IKEA di seluruh negara kini disahkan halal secara rasmi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pencapaian itu adalah satu pengiktirafan untuk IKEA yang sudah lama menitikberatkan kepentingan halal dalam penyediaan makanan dan minuman hampir tiga dekad lalu.
Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys berkata, kejayaan memiliki sijil halal itu membuktikan keseriusan IKEA yang sentiasa mengawal ketat aspek halal dalam penyediaan makanan termasuk pemilihan bahan yang diperakui halal, pematuhan piawaian operasi dapur, serta larangan penggunaan bahan yang tidak dibenarkan.
“Proses pensijilan melibatkan pemeriksaan menyeluruh oleh JAKIM termasuk pengesanan sumber bahan, proses kerja dapur dan latihan kakitangan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya.
Katanya, kasih sayang rakyat Malaysia terhadap makanan IKEA sentiasa menjadi inspirasi dan amat dihargai.
“Pensijilan ini mencerminkan penghormatan kami terhadap kepercayaan, budaya dan komuniti.
“Di Malaysia, halal bukan sekadar pematuhan. Ia adalah soal kepercayaan, penghormatan budaya, dan tuntutan keagamaan.
“Melalui kerjasama rapat dengan JAKIM, kami memastikan pematuhan sepenuhnya dalam aspek perolehan bahan, operasi dapur dan latihan kakitangan,” katanya.

Selain itu, IKEA Malaysia turut menekankan usaha menjadikan pengalaman makanan lebih inklusif dan lestari.
Beliau berkata, IKEA sentiasa mencari cara untuk menjadikan pengalaman menikmati makanan di IKEA lebih Istimewa, mudah diakses dengan harga berpatutan.
“Ini juga termasuk usaha memperkenalkan pilihan makanan yang lebih enak, malah lebih baik untuk manusia dan alam sekitar,” katanya.
Tambahnya, pensijilan halal itu juga selaras dengan komitmen IKEA Malaysia untuk mencipta kehidupan harian yang lebih baik, bukan sahaja melalui kelengkapan rumah, tetapi juga sajian makanan yang mencerminkan nilai, cita rasa dan harapan masyarakat tempatan. - DagangNews.com
standard

