
IKEA Malaysia baru-baru ini mengumumkan bahawa semua restoran, kafe dan bistro miliknya di seluruh negara kini telah menerima pensijilan halal rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pengiktirafan ini secara rasmi memperkukuh amalan halal yang telah menjadi sebahagian daripada operasi IKEA Malaysia selama hampir tiga dekad, sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan untuk menjamu selera dengan penuh ketenangan.
Sejak memulakan operasi di Malaysia, IKEA sentiasa berpegang teguh pada prinsip halal, bermula daripada pemilihan bahan mentah yang diperakui halal, pematuhan kepada piawaian penyediaan makanan yang teliti, hinggalah memastikan tiada sebarang penggunaan bahan terlarang.
Pensijilan ini mengesahkan serta mengangkat lagi komitmen tersebut, seiring dengan usaha IKEA mengekalkan piawaian tinggi terhadap kualiti dan keselamatan makanan.
“Kasih sayang rakyat Malaysia terhadap hidangan kami sentiasa menjadi inspirasi. Pensijilan ini adalah penghormatan kepada kepercayaan, budaya dan komuniti di sini. Di Malaysia, halal bukan sekadar pematuhan, tetapi lambang kepercayaan, penghormatan budaya dan tuntutan agama.
“Melalui kerjasama rapat dengan JAKIM, kami memastikan pematuhan sepenuhnya dalam aspek perolehan bahan, operasi dapur dan latihan kakitangan. Dengan ini, kami berharap dapat memperkukuh lagi ikatan kepercayaan yang terjalin dengan pelanggan kami,” ujar Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys.
Pensijilan halal ini diperoleh setelah melalui proses audit menyeluruh oleh JAKIM, yang melibatkan pengesanan sumber bahan, pemeriksaan operasi dapur serta pelaksanaan latihan staf.
Pengiktirafan ini turut menegaskan komitmen IKEA Malaysia dalam menyumbang kepada kehidupan seharian yang lebih baik, bukan sahaja melalui kelengkapan rumah, tetapi juga sajian makanan yang selamat, berkualiti dan mencerminkan aspirasi masyarakat tempatan.
Selain itu, IKEA Malaysia terus melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah kelestarian, termasuk memperkenalkan pilihan makanan mesra alam, mengurangkan pembaziran makanan serta memastikan hidangan yang ditawarkan bukan sahaja enak, tetapi juga lebih baik untuk manusia dan alam sekitar.
Untuk maklumat lanjut, sila layari IKEA.my - Getaran, 2 Oktober 2025



