SHAH ALAM – Usaha perkukuh institusi keluarga perlu bermula dengan membina hubungan erat antara ibu bapa dan anak-anak menerusi aktiviti bersama yang mampu menyemai nilai kasih sayang, tanggungjawab serta membentuk persekitaran keluarga yang harmoni.
Ahli Jawatankuasa Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Cawangan Selangor, Dr Amalina Abdullah berkata, program berteraskan kekeluargaan bukan sahaja memberi ruang kepada ahli keluarga meluangkan masa bersama, malah menjadi platform mendidik anak-anak mengenai tanggungjawab sosial dan kepentingan menjaga alam sekitar.
Menurutnya, program Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (SBKK) 2026 yang dirancang berlangsung Ahad ini anjuran bersama IKRAM Cawangan Selangor, Karangkraf dan Rasuah Busters turut menyediakan pelbagai pengisian termasuk pertandingan untuk kanak-kanak berusia bawah 16 tahun, reruai pendidikan berkaitan inisiatif Kitar Semula serta program Explorace Keluarga.
"Melalui aktiviti ini, kita mahu melihat sejauh mana anak-anak mengamalkan apa yang dipelajari daripada ibu bapa, khususnya dalam menguruskan sisa buangan di rumah dan memahami kepentingan mengurangkan pembaziran.
"Kesedaran seperti ini perlu diterapkan sejak kecil supaya anak-anak dan keluarga memahami bahawa usaha menjaga alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama," katanya kepada Rasuah Busters pada Selasa.
SBKK 2026 akan berlangsung pada 15 November ini di Dewan Karangkraf, Seksyen 15 Shah Alam bermula pada jam 9 pagi hingga 1 tengah hari dan terbuka untuk umum serta kemasukan adalah percuma.
Pelbagai aktiviti menarik seperti Explorace Keluarga, permainan dalaman, jualan buku, Projek Keluarga: Audit Kitar Semula, hadiah aktiviti anak-anak, cabutan bertuah dan forum kekeluargaan.
Tambah Dr Amalina, penganjuran SBKK 2026 bertemakan Lelaki Teguh, Keluarga Kukuh tersebut menyasarkan penyertaan sekitar 200 hingga 250 peserta termasuk kanak-kanak yang menyertai pertandingan.
Mengulas penyertaan, Dr Amalina memaklumkan seramai 200 peserta telah mendaftar setakat ini dan pihak penganjur masih mengalu-alukan lebih ramai keluarga khususnya ibu bapa untuk turut serta.
"Bagaimanapun, pendaftaran awal diperlukan bagi peserta yang ingin menyertai pertandingan kanak-kanak kerana pihak penganjur perlu menyusun jadual pertandingan. Penyertaan secara terus pada hari program hanya dibuka kepada pengunjung forum," katanya.
Mengulas pengisian utama program, beliau berkata, antara perkara yang ingin diketengahkan ialah kepentingan peranan bapa dalam membina keluarga yang kukuh khususnya dalam mendidik, membimbing dan melindungi anak-anak.
Katanya, peranan bapa tidak seharusnya terbatas kepada tanggungjawab menyediakan keperluan kewangan keluarga sebaliknya perlu turut merangkumi penglibatan secara aktif dalam perkembangan emosi, pendidikan dan pembentukan sahsiah anak-anak.
"Hubungan kekeluargaan perlu dibina melalui perkara sederhana seperti makan bersama, membawa keluarga bersiar-siar dan meluangkan masa melakukan aktiviti bersama pada hujung minggu.
"Kita mahu mengembalikan interaksi dalam keluarga yang semakin terjejas apabila anak-anak terlalu banyak menghabiskan masa dengan gajet, permainan digital dan media sosial," katanya.
Dalam pada itu, Dr Amalina menjelaskan usaha memperkukuh institusi keluarga tidak terhenti pada penganjuran satu program sahaja sebaliknya akan diteruskan sepanjang bulan ini melalui pelbagai aktiviti anjuran IKRAM di 20 kawasan serta rangkaian cawangannya di seluruh negara.
Antara inisiatif yang dirancang termasuk ceramah bertemakan peranan lelaki sebagai hero keluarga, seminar kekeluargaan, aktiviti perkongsian foto keluarga serta program kemasyarakatan seperti kunjungan kepada golongan asnaf, warga emas dan saudara baharu.
Program akan disempurnakan oleh Exco Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari yang sebelum ini turut memberikan kerjasama baik dalam pelaksanaan program kekeluargaan dan kemasyarakatan di negeri ini.
