Ikrar Derma Harta Ke Badan Amal Gates dan Warren Buffet Gagal – Hanya 9 Daripada 256 Bilionwan Tunai Janji

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2025 • 10:50 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Lima belas tahun lalu, kempen The Giving Pledge dimulakan oleh Bill Gates, Melinda French Gates dan Warren Buffet dengan peserta berikrar memberikan sekurang-kurangnya 50% harta kekayaan duniawi ke badan amal. Selepas 15 tahun dilancarkan, The Giving Pledge boleh dikatakan gagal selepas hanya 9 daripada 256 individu atau pasangan yang berikrar telah menunaikan janji mereka.

Ini adalah menurut laporan yang diterbitkan oleh Institute for Policy Studies minggu lalu. Daripada jumlah ini 22 bilionwan yang berikrar telahpun meninggal dunia dengan 8 sahaja menyerahkan sekurang-kurangnya separuh harta ke badan amal. Sementara itu pasangan Laura dan John Arnold ialah satu-satunya pasangan yang masih hidup yang telah menyerahkan separuh harta mereka.

image is not available

Sungguhpun begitu 80% harta yang didermakan telah disalurkan ke yayasan peribadi dan bukan ke badan yang memerlukan dana seperti disarankan oleh The Giving Pledge. Malahan Bill Gates sendiri menyerahkan keseluruhan harga bernilai $200 bilion beliau kepada Gates Foundation pada Mei lalu.

Statistik lain yang didedahkan ialah daripada 256 individu serta pasangan ini, 194 adalah dari Amerika Syarikat dengan baki 62 lagi dari negara lain. Daripada 194 bilionwan Amerika, hanya 110 masih bergelar bilionwan dengan harta terkumpul $1.7 trilion.

Antara bilionwan yang telah berikrar ialah Tan Sri Vincent Tan, Dato’ Sri Tahir, Elon Musk, Sam Altman, Mark Zuckerberg, Larry Elison, MacKenzie Scott, dan George Lucas.

View Original Article