Ikrar Rukun Negara dilafaz secara penuh di Dewan Rakyat esok

Politics
26 Feb 2024 • 11:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Buat julung kalinya, lafaz ikrar Rukun Negara secara penuh bermula daripada mukadimah akan dilaksana dalam Majlis Persidangan Dewan Rakyat esok, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian berkenaan susulan kelulusan Jemaah Menteri pada 25 Julai 2023 agar Rukun Negara dilafazkan secara penuh.

"Langkah bersejarah ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dan menghakis kebencian serta rasis dalam kalangan rakyat Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Aaron berkata, dalam negara yang berbilang kaum dan budaya seperti Malaysia, keharmonian antara rakyat merupakan kunci kepada kemajuan serta kestabilan, justeru itu penting bagi semua pihak menghayati dan mengamalkan nilai yang terkandung dalam budaya Rukun Negara.

"Saya ingin menyeru kepada semua warga Malaysia untuk bersama-sama menyokong inisiatif ini dengan penuh semangat dan kesungguhan serta sama-sama menjadikan Malaysia sebagai contoh kepada dunia dalam memupuk perpaduan dalam kepelbagaian,” katanya.

Berdasarkan takwim di laman rasmi Parlimen, Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 19 hari dengan tumpuan kepada perbahasan Titah Diraja oleh ahli-ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved