'Ikut perlembagaan, kerajaan Persekutuan perlu bayar balik 40 peratus hak Sabah' - Shafie Apdal

LocalPolitics
7 Mar 2026 • 12:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Shafie (dua dari kiri) ketika hadir pada majlis berbuka puasa di Masjid Al-Muhajirin, Kampung Warisan, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan keputusan mahkamah berhubung hak 40 peratus hasil Sabah perlu dihormati dan dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan tanpa penangguhan yang berpanjangan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sendiri perlu menjelaskan tindakan yang akan diambil selepas mengetahui tindakan kerajaan persekutuan memfailkan notis usul untuk penangguhan perintah mahkamah tersebut.

"Kalau mengikut perlembagaan sudah jelas kerajaan Persekutuan perlu bayar balik, dapatkan balik wang itu untuk Sabah," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa di Masjid Al-Muhajirin, Kampung Warisan, di sini pada Jumaat.

Beliau sebelum itu diminta mengulas mengenai dokumen yang didedahkan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berhubung tindakan kerajaan Persekutuan memfailkan Notis Usul untuk menangguhkan bayaran 40 peratus tersebut.

Bekas Ketua Menteri itu turut menekankan bahawa Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara, dan sebarang keputusan mahkamah yang dibuat berasaskan perlembagaan tidak seharusnya ditangguhkan pelaksanaannya.

"Contohnya, jika seseorang didapati bersalah melakukan jenayah seperti mencuri, membunuh atau berkaitan dadah, hukuman yang dijatuhkan tidak boleh ditangguhkan.

"Mungkin dalam kes ini ia melibatkan kewangan dan kerajaan perlu memperhalusi perkara tersebut, tetapi perkara ini tidak boleh dicampur aduk dengan peruntukan biasa kerajaan Persekutuan," katanya.

Mohd Shafie dalam pada itu menegaskan bahawa kemudahan seperti hospital, balai polis dan aspek keselamatan yang disediakan kerajaan Persekutuan tidak boleh dianggap sebagai sebahagian daripada bayaran 40 peratus kepada Sabah.

"Hospital, balai polis, keselamatan dan tentera itu adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan. Negeri lain seperti Perlis, Terengganu dan negeri-negeri lain juga menerima perkara yang sama. Itu bukan 40 peratus.

"Sebab itu penting untuk membezakan antara tanggungjawab Persekutuan dengan hak Sabah yang termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Beliau dalam masa sama turut menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah cukai yang dipungut di Sabah yang menurutnya mencecah hampir RM30 bilion, namun hanya sekitar RM5 bilion dikembalikan kepada negeri itu.

"Ada pihak yang telah membayar cukai selama lima hingga 10 tahun walaupun dijanjikan ia akan dikembalikan. Itu pun belum termasuk 40 peratus hasil yang dipungut," katanya.