ILB Group catat untung bersih RM3.3 juta pada 2QFY23
diyana
18/08/2023 - 17:35
KUALA LUMPUR 18 Ogos - ILB Group Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM3.3 juta bagi suku keempat berturut-turut pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) berbanding kerugian RM4.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata keuntungan pada suku semasa adalah disebabkan terutamanya oleh pemulihan kerugian rosot nilai sebanyak RM16.7 juta daripada pelaburan dalam syarikat bersekutu yang disenaraikan di Bursa Singapura (SGX) dan keuntungan pertukaran mata wang asing berikutan kelemahan ringgit berjumlah RM1.6 juta.
Namun, ia diimbangi dengan peningkatan kos kewangan RM3.8 juta daripada pembayaran penuh pinjaman jangka pendek dalam mata wang asing dan peningkatan kerugian sebanyak RM1.2 juta daripada pelaburan dalam syarikat bersekutu yang disenaraikan di Bursa Singapura (SGX).
Sementara itu, pendapatan kumpulan pada suku dalam tinjauan melonjak hampir enam kali ganda atau 466% kepada RM14.1 juta daripada RM2.5 juta sebelumnya, didorong sumbangan daripada perdagangan panel solar.
Syarikat tenaga solar yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu mencatatkan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 1.80 sen berbanding kerugian sesaham 2.40 sen.
Secara keseluruhan, ILB Group catat keuntungan bersih RM6.7 juta dalam separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) berbanding kerugian bersih pada tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatannya melonjak lebih dua kali ganda atau 144.9% kepada RM27.97 juta daripada RM11.4 juta sebelumnya.
“Rekod prestasi kami yang terbukti dalam melaksanakan dan mengendalikan projek solar ditambah dengan aliran tunai lebih baik, meletakkan kami di kedudukan yang baik untuk meningkatkan perniagaan solar bagi menjana pendapatan mampan,” kata ILB Group mengulas prospek syarikat.
Kumpulan itu berkata dengan inisiatif dan langkah proaktif kerajaan dalam peralihan tenaga, ia melihat potensi dan peluang yang luas dalam industri tenaga boleh diperbaharui yang semakin berkembang.
“Melangkah ke hadapan, ILB Group akan terus mengambil bahagian dalam semua program berkaitan yang dimulakan oleh kerajaan seperti Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).
“Di samping itu, ILB Group akan meningkatkan kehadiran pasaran kami dalam menyediakan sistem kuasa solar atas bumbung kepada pasaran komersial dan perindustrian,” tambahnya.
Saham ILB Group ditutup rendah pada 58 sen, turun 0.5 sen atau 0.9% dengan permodalan pasaran sebanyak RM113 juta. - DagangNews.com

