
KUALA LUMPUR, 4 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penguasaan ilmu dan pembinaan akhlak perlu menjadi teras utama dalam usaha membangunkan negara MADANI terutama ketika dunia sedang rancak mengejar kemajuan teknologi.
Beliau berkata kemajuan sesebuah negara tidak boleh hanya diukur berdasarkan pencapaian teknologi dan pembangunan fizikal semata-mata tetapi harus disusuli kekuatan iman serta nilai kemanusiaan.
“Kita lihat semua negara di dunia sekarang ini mengejar pembangunan dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan tetapi terasnya mesti ilmu dan akhlak,” katanya ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI di Masjid Al-Sultan Abdullah, Menara Merdeka 118 di sini malam ini.
Anwar berkata penguasaan teknologi dan kemajuan baharu tidak boleh dipisahkan daripada keperluan memperkukuh iman, akhlak serta nilai kemanusiaan.
Menarik perhatian, beliau berkata umat Islam pernah memimpin dunia hasil kekuatan ilmu dan ketamadunan namun menjadi mundur apabila meninggalkan tradisi intelektual itu.
Perdana Menteri berkata Islam sebelum ini berjaya membentuk perkembangan dunia dan mempengaruhi pelbagai rantau hasil kekuatan ilmu serta pemikiran yang dibangunkan oleh para ilmuwan terdahulu.
Terdahulu, Majlis Ilmu MADANI anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat bagi mengikuti pengisian ilmu dan wacana keagamaan.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada tokoh ilmuwan Islam yang hadir termasuk Sheikh Muhammad Hydara al-Jilani dan Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
