
Imam Ditikam Ketika Solat Subuh Berjemaah
Indonesia — Seorang guru al-Quran dan imam di Masjid Baiturrahman, Morowali Utara, Sulawesi Tengah mengalami kecederaan selepas ditikam oleh seorang lelaki ketika mengimamkan solat subuh pada Isnin.
Memetik laporan Detik.com, kejadian itu yang turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan menjadi tular.
Menerusi rakaman berkenaan, Muhammad Jumali, 27, yang memakai jubah dan kopiah berwarna putih dilihat sedang mengimamkan solat bersama beberapa jemaah di belakangnya.
Ketika sedang khusyuk melantunkan bacaan solat, pelaku tiba-tiba muncul dari depan mimbar dengan memegang sebilah pisau. Ketika sedang rukuk, pelaku terus bertindak menikam mangsa.

“Telah terjadi kejadian tikaman terhadap guru agama di Desa Tompira pagi tadi ketika mangsa sedang menunaikan solat subuh berjemaah,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Morowali Utara, Inspektor Pertama Theodorus Resupal.
Suasana menjadi kecoh di dalam masjid ketika itu kerana para jemaah segera bertindak menangkap pelaku.
Pelaku telah ditahan oleh pihak polis bersama barang bukti iaitu sebilah pisau dan telefon bimbit. Siasatan mendapati pelaku positif dadah.
Sementara itu, mangsa telah dirujuk ke Hospital Besar Wilayah (RSUD) Kolonodale untuk mendapatkan rawatan.
Siasatan berhubung kejadian itu masih lagi sedang dijalankan.
Sumber: Detik.com
The post Imam Ditikam Ketika Solat Subuh Berjemaah appeared first on Siakap Keli.
