IMAX sedang meneroka kemungkinan penjualan syarikat dan telah mendekati beberapa syarikat hiburan sebagai pembeli berpotensi menurut laporan Wall Street Journal. Proses ini walau bagaimanapun masih pada peringkat awal dan mungkin tidak menghasilkan sebarang persetujuan.
CEO syarikat Rich Gelfond sebelum ini menyatakan bahawa IMAX ialah aset bernilai tinggi sama ada kekal sebagai syarikat tersenarai atau sebahagian daripada syarikat lebih besar. Untuk Q1 2026, IMAX melaporkan penurunan hasil sebanyak 6% kepada $81.4 juta tetapi masih melepasi jangkaan penganalisis. Pegangan pasaran box office domestik meningkat ke rekod 5.2% pada 2025, manakala pegangan global naik kepada 3.8%.

Filem yang dirakam menggunakan format IMAX mula mendapat perhatian selepas dipopularkan semula oleh Christopher Nolan menerusi trilogi Batman. Pada awalnya hanya beberapa babak khusus dirakam menggunakan IMAX kerana komplikasi kamera besar dengan filem 70mm yang digunakan. Filem Odyssey yang ke pawagam bulan Julai depan akan menjadi filem naratif penuh dirakam sepenuhnya menggunakan kamera IMAX oleh Nolan.
Harga tiket yang lebih mahal boleh dikenakan untuk filem ditayangkan di pawagam IMAX sekaligus membantu meningkatkan pungutan Box Office. Disney sanggup mencipta format baharu Infinity Vision bulan lalu selepas filem Avengers: Doomsday tidak boleh ditayangkan di IMAX kerana sudah slot tayangan diambil lebih awal oleh filem Dune Part 3.
Walaupun kini dilihat sebagai format tayang filem paling premium dan berprestij sekarang, IMAX dengan nisbah 1.43:1 telah dicipta oleh Graeme Ferguson, Roman Kroitor, Robert Kerr, and William C. Shaw pada 1968. Filem IMAX yang pertama ialah Tiger Child sepanjang 17 minit yang diarahkan oleh Donald Brittain khusus untuk ditayangkan di Expo ’70 in Osaka, Jepun.



