
JOHOR BAHRU: Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia (IMEG) telah membantu 248 syarikat di Johor dalam mengekalkan dan mengambil 3,200 pekerja tempatan sejak dilancarkan pada 2016.
Ketua Eksekutif Lembaga Kemajuan Wilayah Iskandar Datuk Badrul Hisham Kassim berkata skim pemadanan pekerjaan itu telah membantu syarikat-syarikat berkenaan dalam mengekalkan tenaga kerja mereka atau mengambil pekerja baharu melalui rebat kewangan terhadap gaji yang dibayar untuk digunakan bagi meningkatkan kemahiran semasa bekerja dan melatih semula kakitangan.
Beliau dalam satu kenyataan semalam menjelaskan inisiatif itu telah terbukti sangat berkesan untuk syarikat membina tenaga kerja yang mampan serta produktif, terutamanya semasa dan selepas pandemik Covid-19 selain mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Katanya lagi, pekerja melihat kenaikan 12 peratus dalam gaji asas mereka dan wanita membentuk 40 peratus daripada jumlah penerima IMEG.
Ansuran ketiga geran itu, IMEG 3.0, yang dikeluarkan dari Julai 2022 hingga Mei 2023, menyaksikan sektor pelancongan, pembuatan termaju dan logistik menjadi tiga industri teratas yang mana pekerja mendapat manfaat paling banyak.
IMEG dibiayai oleh pakej rangsangan kerajaan, Pelan Pemulihan Ekonomi (Penjana) dan Dana COVID-19 (KWC-19).
“Akhirnya, rakyat daripada komuniti yang disasarkan seperti siswazah menganggur, ibu tunggal dan mereka yang terjejas oleh wabak itu yang paling mendapat manfaat kerana mereka dapat mengekalkan pekerjaan atau diambil bekerja.
“Ini adalah selaras dengan fokus Iskandar Malaysia terhadap pemulihan ekonomi dan sosial dalam beberapa tahun ini,” katanya.
Terdahulu, Badrul Hisham menghadiri Sidang Kemuncak Sumber Manusia Iskandar Malaysia 2023, yang mana lebih 250 pemimpin serta pengamal sumber manusia bertemu bagi membincangkan trend dan isu terkini dalam modal insan, terutamanya selepas pandemik. -Bernama



