Imej negara tercalar! Gangguan elektrik hampir 20 minit di KLIA2 tidak boleh diterima – Anthony Loke

LocalPolitics
28 Aug 2025 • 7:49 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Insiden gangguan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 disifatkan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali kerana menjejaskan imej negara, tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Kejadian itu berlaku ketika beliau menghadiri majlis pelancaran Tap, Travel and Discover anjuran gateway@klia2 di terminal berkenaan.

Menurut Loke, dalam sektor pengangkutan awam, sebarang gangguan teknikal melebihi 15 minit dikategorikan sebagai gangguan besar, apatah lagi berlaku di pintu masuk utama negara.

“Seperti biasa, saya hadir (majlis) 15 minit lebih awal. Saya tiba di KLIA2 pukul 2.10 petang, program sepatutnya bermula tetapi tertangguh sehingga 2.35 petang.
“Saya dapati berlaku gangguan elektrik hampir 20 minit. Apa yang berlaku ini tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

image is not available

Gangguan elektrik hampir 20 minit

Beliau berkata gangguan itu menyebabkan banyak sistem tidak berfungsi, termasuk terminal menjadi gelap dan eskalator terhenti, walaupun papan maklumat masih beroperasi.

“Perkara seperti ini memberi imej sangat buruk kepada negara. Sepatutnya sistem sokongan berfungsi, tetapi mengapa ia tidak aktif? Ini mesti dijawab,” tegasnya.

image is not available

Sehubungan itu, Loke mengarahkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan gateway@klia2 menyediakan laporan penuh dalam tempoh 24 jam mengenai punca insiden tersebut.

“Saya tidak mahu mendengar alasan atau tuding-menuding.
“Saya mahu penyelesaian segera dan jaminan perkara ini tidak berulang,” katanya.

image is not available

Terdahulu, gangguan elektrik itu turut menyebabkan kesesakan di kawasan eskalator selain menjejaskan urusan jual beli di premis perniagaan.

Sumber: BERNAMA