Imej permukaan matahari didedahkan

Space
7 Aug 2026 • 1:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Imej permukaan matahari didedahkan

HAWAII: Sekumpulan saintis berjaya merakam pemerhatian matahari pada resolusi tertinggi yang pernah dicapai, sekali gus mendedahkan pelbagai butiran baharu yang menakjubkan.

Video dan imej luar biasa itu dirakam menggunakan Teleskop Suria NSF Inouye di Hawaii. Ia merupakan teleskop suria paling berkuasa di dunia dan didedahkan kelmarin.

Rakaman tersebut memaparkan kawasan yang dipe­ngaruhi medan magnet di pinggir tompok yang lebih sejuk pada lapisan luar matahari yang boleh dilihat, dikenali sebagai fotosfera.

Dengan menggabungkan pemerhatian berkenaan bersama simulasi berteknologi tinggi, penyelidik berjaya mengenal pasti fenomena yang sebelum ini belum pernah diperhatikan secara jelas.

Dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature, saintis melaporkan pengenalpastian pertama yang ‘tidak dapat disangkal’ terhadap fenomena dikenali sebagai ketidakstabilan Kelvin-Helmholtz (KHI).

Fenomena itu menghasilkan corak pusaran. Ia seakan-akan pusaran air di permukaan matahari apabila bendalir berge­rak melepasi satu sama lain pada kelajuan berbeza.

Menurut penyelidik, pusaran berkenaan berpotensi menjadi petunjuk penting dalam memahami cuaca suria paling ganas.

Penemuan itu juga boleh membantu ahli astronomi me­ramalkan dengan lebih tepat letusan suria dan lentingan jisim korona yang berpotensi mengganggu sistem satelit serta komunikasi di Bumi.

Corak lingkaran unik KHI boleh ditemukan dalam pelbagai fenomena, daripada gelombang laut berskala kecil hingga interaksi antara angin suria dan medan magnet planet.

Bagaimanapun, sehingga ki­ni, ahli astronomi tidak mempunyai peralatan yang cukup berkuasa untuk mengesan corak berkenaan pada lapisan luar matahari.

Pengarah Program Yayasan Sains Kebangsaan (NSF) bagi Balai Cerap Suria Kebangsaan, Jacqueline Keane berkata kewujudan pusaran pada skala yang sangat kecil itu sukar dikesan selama beberapa dekad. – AGENSI

 

The post Imej permukaan matahari didedahkan appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved