
TAWAU: Seramai 192 individu ditahan untuk proses dokumentasi dalam operasi penguatkuasaan dilancarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di beberapa lokasi di sini, Khamis lepas.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata, 60 individu terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia ditahan lanjut selepas pemeriksaan kerana didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah.
Kesemua individu tersebut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata tangkapan itu adalah hasil operasi yang dilaksanakan pihaknya selepas menerima aduan awam dan melakukan risikan selama seminggu di beberapa lokasi berasingan di daerah ini.
“Operasi melibatkan 19 pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIM Tawau,” katanya.
Dalam pada itu, Sh Sitti Saleha menyatakan tindakan tegas tanpa kompromi akan turut diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melindungi atau menggaji pendatang tanpa izin (PTI).
Justeru itu, beliau menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PTI bagi membantu pihak berkuasa mengekang isu tersebut.


