ANAK syarikat Karangkraf, Institut Memandu Kecemerlangan Latihan (IMKL) melalui Telatin Mewah Sdn Bhd bakal beralih ke arah pendigitalan selepas 19 tahun menggunakan kaedah pendaftaran calon ujian memandu secara konvensional.
Ketua Pegawai Eksekutif IMKL, Nora Ahmad berkata, langkah itu selaras dengan perkembangan semasa yang menyaksikan penggunaan platform digital dan media sosial semakin meluas dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, inisiatif berkenaan juga dijangka mampu meningkatkan kapasiti pendaftaran calon ujian memandu ke institut berkenaan sehingga dua hingga tiga kali ganda menerusi sistem dalam talian.
**media[3493599]**
"Semasa lima tahun pertama penubuhan, calon tidak ramai iaitu sekitar 100 hingga 200 orang sebulan kerana waktu itu kami masih baharu. Tetapi sekarang, purata pendaftaran bulanan kami mencecah 700 orang, bahkan pecah rekod menerima lebih 1,000 calon pada Januari lalu.
"Usaha ke arah pemasaran digital sudah berjalan cuma ada kekangan dari segi tenaga kerja. Insya-ALLAH dengan kolaborasi bersama komunikasi korporat Karangkraf, kami boleh laksanakan secepat mungkin kerana pendaftaran dalam talian juga memudahkan calon.
"Apabila kapasiti pendaftaran meningkat, kami mesti kuatkan operasi dalaman juga iaitu tingkatkan bilangan jurulatih serta penyediaan bilik kuliah dan litar yang selesa," katanya ketika ditemui Sinar Harian di IMKL di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Komunikasi Korporat dan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin; Pengurus Operasi, Pentadbiran dan Jualan IMKL, Norhannah Mohd Safian; Eksekutif Akaun IMKL, Adam Naufal Peter serta Eksekutif Kanan Operasi IMKL, Syahidah Baharudin.
Setakat ini, seramai 39 guru atau jurulatih mengajar di IMKL dan institut tersebut menyasarkan peningkatan kepada 60 jurulatih bersamaan nisbah seorang calon bagi ujian memandu motokar.
Mengulas lanjut, Nora berkata, amalan pendaftaran secara ‘walk-in’ sebelum ini dilaksanakan bagi mengekalkan prinsip bebas rasuah yang menjadi pegangan institut itu.
Menurutnya, tiada ejen atau rakan niaga terlibat dari segi urusan pendaftaran calon, malah pihaknya tidak sesekali berkompromi dengan amalan 'mark-up' harga.
"Saya kena bermula dengan staf terlebih dahulu dalam menerapkan antirasuah kerana ia jelas salah di sisi agama dan gaji diterima tidak berkat.
"Memang tiada amalan 'lesen terbang' di IMKL dan itu yang kami tegaskan kepada calon ketika mendaftar. Malah, jika kami kesan berlaku rasuah, individu itu dibuang serta-merta dan tidak diterima lagi bekerja di sini," ujarnya.
**media[3493600]**
Sementara itu, Norhannah berkata, antara tujuan lain kolaborasi itu diadakan sebagai pemakluman kepada masyarakat bahawa Karangkraf juga memiliki entiti berbeza daripada 'niche' utama penerbitan iaitu institut latihan memandu.
"Sepanjang 50 tahun Karangkraf ditubuhkan, orang ramai kenali ia sebagai syarikat penerbitan dan percetakan tapi tak ramai tahu Karangkraf memiliki perniagaan lain.
"Kalau boleh lihat warna tema IMKL juga menyamai Karangkraf iaitu ungu, jadi sinergi ini yang kami rasakan penting dalam mengetengahkan jenama IMKL," katanya lagi.
