Impak tarif Trump kepada Sabah hanya minimum: Yong

LocalBusiness & Finance
7 Apr 2025 • 3:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri Datuk Yong Teck Lee berkata ekonomi Sabah kekal tidak banyak terjejas oleh tarif sebanyak 24 peratus yang baru-baru ini dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport Malaysia.

“Eksport langsung Sabah ke AS adalah sangat sedikit sehingga tarif 24 peratus ke atas eksport Malaysia ke Amerika hampir tidak memberi kesan kepada perdagangan antarabangsa Sabah,” katanya.

Katanya, eksport Sabah ke AS hanyalah dianggarkan sekitar 1 peratus daripada jumlah eksport Sabah(iaitu, hanya sekitar RM1 bilion daripada RM100 bilion nilai eksport untuk 2025.

Beliau berkata eksport utama Sabah terdiri daripada minyak dan gas, minyak sawit dan produk sawit, produk kayu, makanan laut, pasir silika dan produk makanan yang kebanyakannya dieksport ke negara-negara Asia Timur Laut (China, Jepun, Korea) dan India, Eropah dan negara-negara Asean serta Semenanjung Malaysia.

Rakan dagang utama negeri ini terdiri terutamanya daripada negara-negara Asia Timur Laut termasuk China, Jepun dan Korea, serta India, negara-negara Eropah, Asean dan Semenanjung Malaysia.

“Eksport utama Sabah terdiri daripada minyak dan gas, minyak sawit dan produk berasaskan sawit, produk kayu, makanan laut, pasir silika dan produk makanan,” kata Yong.

Dalam perkembangan yang digambarkan oleh Yong sebagai berita baik untuk Sabah, tembaga dan beberapa produk kayu yang baru-baru ini menjadi komoditi eksport yang semakin berkembang dari Sabah ke Amerika Syarikat tidak tertakluk kepada tarif timbal balik baharu yang diperkenalkan oleh pentadbiran Trump.

Berkaitan eksport minyak sawit yang terkesan oleh tarif tersebut, Yong kekal optimis.

“Kebanyakan eksport minyak sawit dan produk sawit Sabah adalah ke China, India, Eropah (terutamanya Belanda). Oleh itu, bukanlah satu tugas yang mustahil bagi pengeksport minyak sawit Sabah untuk mengalihkan eksport mereka dari pasaran AS ke pembeli utama lain,” katanya.

Beliau berkata sektor minyak sawit perlu memberi tumpuan kepada penstabilan harga baja, memastikan tenaga kerja ladang yang boleh dipercayai dan menambah baik infrastruktur tempatan bagi meningkatkan produktiviti.

Beliau turut mengakui kemungkinan berlakunya kesan tidak langsung sekiranya ketegangan perdagangan global memperlahankan pertumbuhan ekonomi dalam kalangan rakan dagang utama Sabah.

“Jika perang perdagangan global yang dicetuskan oleh tarif Trump menyebabkan ekonomi di Semenanjung Malaysia, negara-negara Asean, China, Jepun, India dan Eropah menjadi perlahan secara serius, maka adalah jelas bahawa ekonomi Sabah juga akan terkesan,” katanya.

Mengenai kebimbangan terhadap hasil negeri daripada eksport minyak, Yong merujuk kepada langkah terkini oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum Plus (Opec) untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 411,000 tong sehari, dan mencadangkan bahawa Petronas mungkin boleh mengikut langkah sama untuk mengimbangi sebarang kemungkinan penurunan harga minyak global.

Tambahnya, Opec memberi isyarat bahawa permintaan global terhadap minyak dan gas kekal stabil.

Berbeza dengan Sabah, Yong mencadangkan negeri-negeri di Semenanjung seperti Pulau Pinang dan Selangor mungkin menghadapi cabaran lebih besar daripada tarif AS disebabkan pelaburan Amerika yang besar dalam industri berteknologi tinggi di negeri-negeri terbabiy, yang sebahagiannya mungkin dipindahkan semula ke Amerika Syarikat, satu matlamat utama dasar tarif pentadbiran Trump.

Beliau berkata penyertaan Malaysia dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), blok perdagangan terbesar dunia yang merangkumi Asean, China, Jepun, Korea, Australia dan New Zealand, terus memberikan negara ini kadar tarif yang rendah dengan kebanyakan rakan dagangnya, sekali gus melindungi Sabah daripada gangguan ekonomi besar.