Impian Ammar tercapai lepas kisah disiar Kosmo!

LocalHealth & Fitness
14 Aug 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Impian Ammar tercapai lepas kisah disiar Kosmo!

ALOR SETAR – Impian Mohammad Ammar Iffat Mohd. Nizam, 5, yang menderita penyakit buah pinggang kronik untuk menjejakkan kaki ke Menara Alor Setar akhirnya tercapai apabila berpeluang mengunjungi mercu tanda itu bersama keluarganya kelmarin.

Kisah kanak-kanak dari Kampung Bukit Berangan, Jitra dekat sini itu disiarkan Kosmo! pada 3 Ogos lalu sebelum pihak Telekom Malaysia (TM) Berhad dan pengurusan Menara Alor Setar tampil merealisasikan impian sederhananya.

Ibu Mohammad Ammar, Fatin Nur Atiqah Zaidan, 31, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu sangat teruja sejak mengetahui akan dibawa ke menara berkenaan seminggu lalu.

“Angah (Mohammad Ammar) sangat teruja nak naik Menara Alor Setar, dari pagi dia dah sebut, ‘angah nak pergi menara, angah nak naik menara’. Tadi pun dia berlari ke lif, memang dah tak sabar,” katanya ketika ditemui di menara setinggi 165.5 meter itu, malam kelmarin.

Menurutnya, Mohammad Ammar turut teruja melihat cahaya lampu bandar raya Alor Setar dari dalam lif sebelum menikmati pemandangan dari pelantar terbuka Star View bersama abang dan adiknya, malah tidak gayat ketika berjalan di pelantar lantai kaca.

“Dia juga tengok lampu berkelip-kelip dari puncak pencawang menara. Itulah lampu yang dia lihat dari cermin tingkap Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) ketika menerima rawatan pada Oktober tahun lalu,” ujarnya yang merakamkan penghargaan kepada TM dan pengurusan Menara Alor Setar.

Fatin berkata, sebelum ini dia tidak dapat membawa anaknya ke Menara Alor Setar kerana kekangan masa selain perlu menyesuaikan jadual dengan keadaan Mohammad Ammar yang menjalani dialisis kira-kira sembilan jam setiap hari.

Sementara itu, Pengurus Besar Perniagaan Wilayah Utara TM ONE, Ts. Saravanan Belusami berkata, pihaknya mengetahui hasrat Mohammad Ammar selepas membaca laporan Kosmo! sebelum mengambil langkah merealisasikan impian kanak-kanak itu.

“Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada Kosmo! kerana kalau tidak keluar artikel itu, kami di TM pun tidak tahu impian anak ini. Hari ini tugas kami adalah untuk memenuhi impian adik Ammar,” katanya.

Pada kunjungan itu, Mohammad Ammar dan keluarganya turut menikmati malam di pelantar Star View menerusi pakej Serene Sky Lounge serta menerima t-shirt Menara Alor Setar.

Dalam pada itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, dia terharu melihat keterujaan Mohammad Ammar yang akhirnya dapat melihat sendiri menara dan cahaya lampu yang selama ini menjadi hiburannya ketika menjalani rawatan di hospital.

The post Impian Ammar tercapai lepas kisah disiar Kosmo! appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved