Impian kanak-kanak lapan tahun hidap leukemia naik tren tercapai

17 Aug 2023 • 8:36 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Keceriaan terukir di wajah seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang menghidap leukimia apabila impiannya untuk menaiki tren menjadi realiti hari ini.

Lebih bermakna, Ahmad Faizal dari Bukit Antarabangsa, Selangor dibawa merasai pengalaman itu dengan menaiki tren khas yang dihiasi tema kartun popular, “Thomas and Friends” bermula dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang ke Stesen LRT Chan Sow Lin selain berpeluang mengunjungi Kompleks Rapid Rail Ampang.

Impian kanak-kanak itu direalisasikan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pengendali rel dengan kerjasama sebuah badan bukan kerajaan, Make-A-Wish Malaysia yang prihatin dengan nasib Ahmad sejak dia dikesan menghidap leukimia November tahun lepas.

Ibu kanak-kanak itu, Nur Syafiqah Ahmad Alimi, 34 berkata anak sulung daripada dua beradik itu ada memaklumkan hasratnya untuk menaiki kereta api yang menyerupai wajah sebenar kartun “Thomas and Friends” di Jepun selain sangat teruja dengan mainan dan video berkaitan animasi itu di rumah.

“Walaupun tidak sampai ke Jepun kerana kekurangan bajet, impian menaiki tren dengan dihiasi kartun ‘Thomas and Friends’ ini sudah cukup mengembirakan kami sekeluarga.

Saya berbangga dengan apa yang Prasarana telah usahakan kepada Ahmad dan terharu dengan beberapa aktiviti permainan berkaitan tren untuk menggembirakan dia,” katanya kepada Bernama di sini.

Nur Syafiqah yang juga seorang suri rumah berkata anaknya itu dikategorikan leukimia pada tahap medium dan masih mendapatkan rawatan susulan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Amir Hamdan berkata usaha yang dilakukan Prasarana itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi merealisasikan impian dan memberikan kegembiraan kepada kanak-kanak yang memerlukan sokongan.

“Kami berbesar hati kerana dapat menunaikan impian adik Ahmad yang sangat meminati dengan siri kartun ‘Thomas and Friends’ dan berharap inisiatif sebegini dapat menaikkan semangat beliau untuk terus bersemangat dengan apa yang ditempuhinya sekarang,” katanya. -Bernama