Impian Nur Umairah ke Langkawi bakal jadi kenyataan

LocalTravel
6 Mar 2026 • 1:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Salleh (dua kanan) turut menyampaikan sumbangan kepada Nur Umairah sebagai persediaan menyambut Aidilfitri bersama keluarganya.
image is not available
Noor Shahirah (kiri) sebak semasa menceritakan perkembangan semasa anaknya kepada Mohd Salleh.

ALOR SETAR – Impian seorang kanak-kanak yang menghidap kanser otak tahap empat untuk menjejakkan kaki ke Pulau Langkawi akhirnya bakal menjadi kenyataan apabila menerima tajaan penuh percutian ke pulau peranginan itu selepas Aidilfitri ini.

Pesakit berkenaan, Nur Umairah Abdul Rahman, 12, akan dibawa bercuti bersama keluarganya selama tiga hari dua malam bagi merealisasikan hasrat yang selama ini terpendam.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, beliau terpanggil untuk membantu menunaikan impian kanak-kanak tersebut selepas mendapat tahu perkara tersebut melalui laporan media.

Menurutnya, sepanjang berada di Langkawi nanti, Nur Umairah akan dibawa melawat beberapa lokasi menarik supaya kanak-kanak itu dapat menikmati percutian yang menggembirakan bersama keluarga.

“Umairah beritahu dia tidak pernah ke Langkawi kerana sakit. Jadi kita mahu membawanya ke sana supaya dia dapat bercuti bersama keluarga dan menikmati masa yang indah.

**media[3454643]**

“Saya dimaklumkan tiada lagi rawatan yang sesuai untuknya, jadi kita berharap percutian ini akan memberi kenangan bermakna buat Nur Umairah,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

Pada pertemuan tersebut, Mohd Salleh turut menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak tersebut sebagai persediaan menyambut Aidilfitri bersama keluarganya.

Sementara itu, ibu Umairah, Noor Shahirah Mohd Fuzi, 30, meluahkan rasa terharu apabila impian anak sulungnya itu untuk bercuti ke Langkawi akhirnya bakal tercapai.

Menurutnya, Umairah sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk ke pulau peranginan tersebut, namun kekangan kewangan menyebabkan mereka tidak mampu menunaikannya.

Katanya, wang simpanan keluarga banyak digunakan untuk rawatan anaknya sejak disahkan menghidap kanser otak jenis medulloblastoma pada tahun 2020 ketika berusia enam tahun.

“Selagi dia masih ada, saya mahu tunaikan impiannya untuk bercuti bersama keluarga.

“Saya mahu cipta kenangan bersamanya dan sentiasa berada di sisi untuk menggembirakan hatinya, walaupun sebagai ibu memang tidak mudah menghadapi semua ini,” katanya dengan nada sebak.

Tambahnya, Umairah juga bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-12 pada 15 Mac ini dan percutian tersebut menjadi hadiah yang amat bermakna buat anaknya.

Dalam pada itu, Noor Shahirah turut merakamkan penghargaan kepada Cancer Survivors Malaysia (CSM) serta pengerusinya, Zuraini Kamal yang sentiasa membantu keluarga mereka termasuk menyumbangkan pakaian Hari Raya dan barangan keperluan dapur setiap tahun.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Nur Umairah disahkan menghidap kanser otak tahap empat ketika berusia enam tahun selepas mengalami masalah kesihatan ketika masih belajar di prasekolah.

Sejak itu, kehidupannya banyak dihabiskan dengan menjalani rawatan dan pemeriksaan di hospital dan pernah menyatakan harapan kepada ibunya untuk bercuti ke Langkawi.