Impian sejak kecil, Norzizi Zulkifli sudah tulis Prof Madya sejak Darjah Empat. ‘Kata-kata satu doa’

LocalEntertainment
4 Mar 2026 • 12:56 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

PELAKON dan pengarah Profesor Madya Dr Norzizi Zulkifli mendedahkan, rupanya sudah menggunakan gelaran Profesor Madya sejak kanak-kanak lagi.

Anak kepada pelakon terkenal Datuk Zulkifli Zain dan Datin Normala Omar itu berkongsi cerita bermulanya sebuah impian sejak dari bangku sekolah rendah dan sekeping poskad kiriman ibu saudaranya, Roslina Othman dari  Kangar, Perlis yang tertera Profesor Madya pada pangkal nama.

"Mengapa saya ingin menjadi Profesor Madya. Ia bukanlah kerana kerjaya saya semata, tetapi sebab yang lebih utama adalah merealisasikan impian kanak-kanak saya! 

"Saya mula menulis nama saya dengan Profesor Madya sejak Darjah Empat Kebetulan ada tanda mata sebagai saksi! Terima kasih kepada mak su saya.

"Ini adalah sekeping poskad yang dipos oleh mak su saya. Dia tahu saya sejak kecil-kecil masa Darjah Empat sudah berangan, tulis dalam buku nama Profesor Madya.

"So, bila maksu pos postcard ini dengan sampul surat, saya terjumpa semula selepas 37 tahun," kongsinya.

image is not available

Sampul surat tertera 'Prof Mdy Norzizzi Bt Zulkifli' itu diterima pada 28 Februari 1989.

Sementara itu, menurut Roslina, idea menulis pangkat akademik itu tercetus apabila melihat ketokohan dan kematangan Zizi pada usia Zizi pada usia 12 tahun.

"Nampak kegigihan dan usaha dia membantu keluarga dan dapat urus masa dengan baik serta cemerlang dalam pelajaran. Jadi (saya nampak) budak ni boleh berjaya masa depan.

"Saya juga pernah terjumpa dia menulis Profesor Madya pada buku sekolahnya. Nampak kesungguhan dan kematangan Zizi tu, mak su teringat zaman kami berutus surat. 

"Saya ketika itu ingin memberi yang terbaik untuk Zizi. Tidak mahu guna tulisan tangan, saya guna mesin taip elektrik.

image is not available

“Zizi mesti belajar rajin-rajin. Mak su harap Zizi selalu dapat keputusan yang cemerlang. Walaupun berjauhan sedikit masa, jaga kesihatan. Sampai di sini dulu Zizi. Belajar rajin-rajin. Sayang mama papa dan jangan lupa ingat mak su selalu, okay. Salam sayang.

"Alhamdulillah, hari ini tanggal 25 Februari 2026. Kita tolak balik dengan 1989, sudah 37 tahun yang lalu. Insya-ALLAH dengan berkat doa, berkat niat. Alhamdulillah," kongsinya.

Zizi dalam masa yang sama mengucapkan terima kasih kepada Roslina kerana sentiasa memberikan motivasi.

"Terima kasih mak su pos kepada Zizi masa itu,  Zizi sangat menghargai. titip Zizi

Difahamkan, ketika melanjutkan pengajian peringkat sarjana di London, poskad itu yang telah dibingkaikan dibawa bersama sebagai kata-kata semangatnya,

Norzizi yang bertugas Pensyarah Kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu menerima gelaran Prof Madya baru-baru ini.

Berkhidmat sebagai pensyarah di UiTM sejak 15 November 2006, Norzizi memegang PhD dalam bidang Seni, Bahasa Inggeris dan Media dari University of Wollongong, Australia.

Beliau terdahulu meraih Sarjana Seni Halus (Pengarahan Teater), National College of Rubber Technical, United Kingdom, Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Persembahan, UiTM, Cawangan Shah Alam dan Diploma Teater, Akademi Seni Kebangsaan (Aswara).