
SHAH ALAM, 10 FEB: Dato’ Menteri Besar menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor yang menyarankan kerajaan memberi lesen pengimportan daging babi bagi menampung keperluan penduduk bukan Islam, susulan ketegasan Baginda yang tidak berkenan aktiviti penternakan babi di mana-mana daerah.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selari dengan pendirian serta pendekatan proaktif pentadbiran negeri sedia ada melalui mekanisme kawalan dan pemantauan di bawah Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS).
“Keprihatinan DYMM Tuanku ini akan diselaraskan dengan tindakan selanjutnya oleh EXCO Kerajaan Negeri yang berkaitan. Menjunjung kasih, Tuanku,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Sultan Selangor bertitah menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Baginda bahawa kaedah pemberian lesen import daging babi bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan haiwan berkenaan, malah membolehkan tanah sedia ada dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan dan penempatan.
“Sultan Selangor menegaskan isu penternakan babi perlu dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan semua pihak serta menjejaskan keamanan dan keharmonian kaum Cina,” kata Datuk Mohamad Munir Bani.
Dalam pada itu, Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap kesan penternakan babi yang menyebabkan pencemaran udara akibat bau busuk, selain mencemarkan sumber air berikutan pelepasan najis dan sisa kumbahan.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu penternakan babi perlu dilihat daripada sudut kesihatan, kebersihan dan keharmonian komuniti, bukannya dipolitikkan sehingga mencetuskan polemik kaum dan agama.
Beliau turut menjelaskan aktiviti penternakan haiwan itu seharusnya dilakukan di lokasi yang tidak mencetuskan kontroversi awam.
Bulan lalu, Kerajaan Selangor memutuskan untuk menangguhkan serta membatalkan sementara sebarang cadangan pembangunan berkaitan ladang babi di Bukit Tagar bagi memberi ruang kepada penelitian yang lebih menyeluruh.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), termasuk mengarahkan EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim, mencari kawasan alternatif susulan bantahan penduduk di sekitar kawasan terlibat.
