Import Lateks Tinggi Punca Penutupan Goodyear, Kerajaan Bakal Tingkatkan Pengeluaran Susu Getah

11 Mar 2024 • 5:22 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kerajaan bakal tingkatkan pengeluaran susu getah atau lateks negara bagi mengurangkan kerugian daripada hasil import.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun getah merupakan antara hasil keluaran utama negara, Malaysia masih mengimport lateks bernilai RM6 bilion setiap tahun.

Kerajaan bakal tingkatkan pengeluaran susu getah

image is not available

Katanya, kebergantungan tinggi terhadap lateks import juga dipercayai menjadi antara faktor Goodyear bakal menutup kilang pengeluaran tayarnya di Shah Alam.

“Itu telahan, antaranya ya.

“Sepatutnya kita keluarkan lateks tetapi kerana tak ada galakan terhadap itu kita terpaksa import lateks,” katanya ketika menggulung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ahmad Zahid menjawab demikian ketika Ahli Parlimen Hulu Terengganu bertanyakan soalan jika terdapat kaitan antara keputusan Goodyear meninggalkan Malaysia dengan import susu getah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata tiada sebab kukuh untuk Malaysia bergantung kepada import lateks.

Import lateks tinggi punca penutupan Goodyear

image is not available

Foto: Reuters

Oleh itu, kementeriannya bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang mengusahakan kertas kabinet bagi mencadangkan beberapa pendekatan menangani isu pekebun kecil getah termasuk pengeluaran lateks.

“Bayangkan kalau kita dapat keluarkan lateks RM6 bilion sendiri, tentunya kita dapat pertingkatkan lagi nilai ringgit kita.

“Itulah jawapannya. Simple logik yang YB sendiri harus fahami jawapannya,” ujar Ahmad Zahid.

Sekadar info, Goodyear dilaporkan bakal menutup kilangnya di Shah Alam berkuat kuasa 30 Jun ini.

Dalam memo dalaman yang dikatakan bocor, Presiden Asia Pasifik Goodyear Tyre & Rubber Company, Nathaniel Madarang berkata penutupan berkenaan merupakan sebahagian daripada “program transformasi” syarikat itu.

Kata Madarang, kira -kira 550 jawatan dalam operasiya di Malaysia bakal terjejas.

Sumber: Malaysiakini (Hariz Mohd, Shamz Johan & Zarrah Morden)