Indeks Harga Pengeluar Malaysia catat penurunan 0.3% pada Oktober 2023 - DOSM

28 Nov 2023 • 3:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Indeks Harga Pengeluar Malaysia catat penurunan 0.3% pada Oktober 2023 - DOSM

zulfadli

28/11/2023 - 15:11

KUALA LUMPUR 28 Nov - Indeks Harga Pengeluar Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang, turun perlahan sebanyak negatif 0.3% pada Oktober 2023 selepas peningkatan 0.2% pada September 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor pembuatan turun sebanyak negatif 0.7% pada Oktober 2023 (September 2023: -0.8%), membawa kepada penurunan dalam indeks keseluruhan bulan ini.

Katanya, subsektor yang menyebabkan penurunan ini adalah pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-8.8%), pembuatan produk makanan (-4.2%) dan pembuatan bahan kimia dan produk kimia (-2.0%).

"Pada masa yang sama, indeks bekalan elektrik dan gas juga turun negatif 0.5%. Sementara itu, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 3.8% (September 2023: 3.2%) disebabkan peningkatan dalam indeks pengeluaran ternakan (4.3%) dan penanaman tanaman kekal (3.8%).

"Sektor perlombongan juga mencatatkan peningkatan kecil 0.5% pada Oktober 2023 berbanding 6.9% pada bulan sebelumnya, disokong indeks pengekstrakan petroleum mentah (5.6%). Selain itu, indeks bekalan air meningkat sebanyak 1%," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata, pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan menurun sebanyak negatif 0.3% pada Oktober 2023 selepas mencatatkan peningkatan 0.9% pada bulan sebelumnya.

Katanya, kebanyakan sektor menunjukkan penurunan kecuali sektor bekalan air yang mencatatkan peningkatan 0.8%.

image is not available

"Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan turun negatif 1.5%, dipengaruhi indeks penanaman tanaman kekal (-2.5%). Sektor perlombongan merosot negatif 1.3%, kesan daripada indeks pengekstrakan gas asli (-6.6%).

"Pada masa yang sama, sektor pembuatan turun perlahan negatif 0.1% disebabkan indeks pembuatan produk makanan (-0.6%) dan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-0.6%). Sektor bekalan elektrik dan gas juga turun negatif 0.6% bulan ini," katanya.

Beliau berkata, bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 5.3% pada Oktober 2023 (September 2023: 5.4%), dengan indeks bahan bukan makanan dan bahan makanan dan makanan untuk binatang masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 5.7% dan 3.8%.

Katanya, indeks barang siap kekal positif dengan mencatatkan 2.2% (September 2023: 3.1%), disebabkan peningkatan dalam kelengkapan modal (3.4%) dan barangan pengguna siap (0.8%).

"Sebaliknya, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen turun negatif 3% (September 2023: -2.7%) disebabkan oleh indeks bahan api yang diproses dan pelincir (-13.2%) serta bahan dan komponen untuk pembuatan (-2.7%)," katanya.

Katanya, pada asas bulanan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya merekodkan tiada perubahan pada bulan ini.

Bagaimanapun katanya, barang siap menurun sebanyak negatif 0.6% dan bahan perantaraan, bekalan dan komponen juga turun sebanyak negatif 0.2% pada Oktober 2023. - DagangNews.com

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved