Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan naik 0.7% pada suku kedua 2024 - DOSM
herman
06/08/2024 - 12:33
KUALA LUMPUR 6 Ogos - Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) meningkat perlahan 0.7% pada suku tahun kedua 2024 berbanding 1.0% pada suku tahun pertama 2024.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Kesenian, Hiburan & Rekreasi meningkat 7.7% berbanding 7.5% pada suku tahun pertama 2024, disebabkan oleh Aktiviti Hiburan & Rekreasi Lain (2.3%).
Katanya, Indeks Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan & Minuman terus meningkat 2.4% (1Q 2024: 2.5%) disumbangkan oleh Aktiviti Perkhidmatan Minuman (3.6%) dan Restoran dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan Bergerak (2.6%), berikutan peningkatan harga makanan.
"Sementara itu, indeks Pendidikan meningkat 0.8% sama seperti suku tahun sebelumnya disumbangkan oleh Pendidikan Menengah (2.2%). Aktiviti Hartanah juga dalam trend yang sama, meningkat 0.8% berbanding 0.6% pada suku tahun pertama 2024.
"Indeks Kesihatan dan Profesional pula masing-masing meningkat sebanyak 0.3% dan 0.2%,” katanya dalam kenyataan media mengenai IHPRP suku tahun kedua 2024 hari ini.

IHPRP mengukur perubahan harga pengeluar bagi sektor perkhidmatan tempatan di Malaysia yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Sementara itu, beliau menambah, sebaliknya, indeks Pengangkutan menurun negatif 1.4% daripada tiada perubahan pada suku tahun sebelumnya disebabkan terutamanya oleh indeks Pengangkutan Penumpang Udara (-5.9%).
"Penurunan ini dikesan sejak suku tahun keempat 2023. Selain itu, indeks Maklumat & Komunikasi menurun negatif 0.1% daripada peningkatan 0.1% pada suku tahun sebelumnya disebabkan oleh indeks Aktiviti Telekomunikasi Tanpa Wayar (-0.2%),” jelasnya.

Dr Mohd Uzir berkata, perbandingan suku tahunan menunjukkan IHPRP menurun negatif 0.1% berbanding peningkatan 0.3% pada suku tahun pertama 2024.
"Penurunan kali pertama sejak suku tahun keempat 2020 semasa pandemik COVID-19. Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh indeks Pengangkutan yang mencatatkan penurunan negatif 2.0% (ST1 2024: 0.7%), disebabkan oleh Pengangkutan Penumpang Udara (-6.8%).
"Indeks Maklumat & Komunikasi juga menurun negatif 0.2%, daripada peningkatan 0.1% pada suku tahun sebelumnya disebabkan oleh Aktiviti Telekomunikasi Tanpa Wayar (-0.2%)," ujarnya.
Walau bagaimanapun, katanya, indeks Kesenian, Hiburan & Rekreasi meningkat dengan lebih laju 4.0% berbanding 0.2% pada suku tahun pertama 2024.
"Selain itu, indeks Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan & Minuman meningkat perlahan 0.6%, diikuti oleh indeks Pendidikan (0.3%) dan Aktiviti Hartanah (0.2%).
"Sementara itu, indeks Kesihatan dan Profesional masing-masing merekodkan peningkatan perlahan sebanyak 0.1%,” katanya. - DagangNews.com


