
TAWAU: Indeks jenayah Tawau menunjukkan penurunan 33 kes atau 16 peratus dalam tempoh Januari sehingga Mac setakat ini, berbanding tahun lepas bagi tempoh sama.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, hanya 170 kes direkodkan berbanding 203 pada tahun lepas, dengan kes paling banyak dicatatkan melibatkan kes pecah rumah dan curi.
Menurutnya, kes-kes jenayah tersebut turut membabitkan suspek warga tempatan dan warganegara asing akibat kes penyalahgunaan dadah.
“Ini kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap lalu mengambil peluang untuk melakukan jenayah,” katanya kepada media sempena sambutan Hari Polis ke-216 peringkat IPD Tawau, di sini, pada Isnin.
Justeru, beliau meminta masyarakat agar menjaga harta benda masing-masing dan tidak membiarkannya tanpa kawalan.
“Orang awam juga dinasihatkan agar memaklumkan kepada jiran dan memasang kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah pencegahan, khususnya jika hendak meninggalkan rumah kosong,” katanya.
Bagi rampasan dadah, beliau berkata pihaknya merampas 10.4 kilogram (kg) dadah berbanding 3.5kg bagi tempoh sama pada tahun lepas.
“Ini merupakan salah satu matlamat utama daerah kita kerana dadah adalah musuh utama di negara kita,” katanya
Menyentuh program itu, beliau menyatakan sambutan diadakan secara sederhana pada tahun ini, tetapi meriah dengan kehadiran jemputan.
“Apa yang kita tekankan adalah IPD Tawau akan terus mempergiatkan lagi usaha dalam mencegah jenayah untuk menjaga ketenteraman dan keamanan daerah ini,” katanya.
Sempena bulan Ramadan yang bakal menjelang, beliau berkata polis akan mempertingkatkan rondaan di kawasan perumahan atau penempatan penduduk.
Dalam perkembangan lain, Jasmin berkata kejayaan IPD Tawau merangkul naib juara Balai Polis Cemerlang MCPF dalam satu acara di Maktab Polis Kuala Lumpur, merupakan hasil komitmen pegawai dan anggota serta kerjasama erat masyarakat dari semasa ke semasa.
“Penilaian ini bukan saja dari segi cara penugasan kita, tetapi juga dari sudut perhubungan kita dengan masyarakat dan pencapaian apabila berjaya menurunkan kadar jenayah berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Sempena sambutan Hari Polis itu juga, Jasmin menyampaikan 60 sijil penghargaan kepada 22 pegawai dan anggota polis, 16 orang awam, 16 wakil media dan masing-masing tiga kepada ahli Persatuan Keluarga Polis (Perkep) dan pesara polis.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


