Indeks Jurang Gender Malaysia catat 70.7% pada 2021, pencapaian wanita atasi lelaki dalam pendidikan - DOSM

11 Jul 2023 • 4:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Indeks Jurang Gender Malaysia catat 70.7% pada 2021, pencapaian wanita atasi lelaki dalam pendidikan - DOSM

zulfadli

11/07/2023 - 16:18

KUALA LUMPUR 11 Julai - Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) mencatatkan 0.707 atau 70.7% pada 2021 berbanding 0.714 atau 71.4% pada 2020 dengan pencapaian wanita telah melebihi lelaki dalam subindeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.060, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

MGGI mengenal pasti jurang antara wanita dan lelaki dalam empat subindeks merangkumi peluang dan penyertaan ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kehidupan serta penguasaan politik. Skor dengan nilai 1 atau 100% menunjukkan kesaksamaan antara wanita dan lelaki telah dicapai.

DOSM dalam kenyataan sempena Hari Penduduk Sedunia 2023 hari ini memaklumkan kadar enrolmen di peringkat rendah dan menengah bagi perempuan secara konsisten adalah lebih tinggi berbanding lelaki.

"Pada 2022, kadar enrolmen kasar bagi perempuan di peringkat rendah dan menengah masing-masing ialah 98.4% dan 94.5%. Di peringkat tertiari, wanita dengan 47.5% mengatasi lelaki dengan 33.8%. Pencapaian ini menunjukkan komitmen negara dalam menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi," menurut kenyataan itu.

Menurut DOSM, bagi penyertaan dan peluang ekonomi yang mencatatkan skor 0.709, kadar penyertaan tenaga buruh wanita Malaysia telah meningkat dengan ketara daripada 44.5% pada 1982 kepada 55.5% pada 2021.

DOSM memaklumkan, menurut World Bank Indicator, kadar penyertaan tenaga buruh dunia bagi wanita ialah 52.5% pada 2021.

Penguasaan politik pula merekodkan 10% atau skor 0.100 yang menunjukkan terdapat potensi peningkatan perwakilan dan pemerkasaan wanita dalam bidang politik.

"Penglibatan wanita Malaysia dalam ekonomi dan pendidikan adalah penting, namun terdapat peluang bagi wanita untuk terus maju menganggotai barisan kepimpinan dalam sistem politik negara, dengan wanita memegang 17.9% jawatan menteri pada 2021," menurut DOSM. - DagangNews.com