Individu didenda RM1,000 kerana mengelirukan pengguna dalam urus niaga pakaian 

LocalSales & Promo
25 Oct 2026 • 10:37 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Individu didenda RM1,000 kerana mengelirukan pengguna dalam urus niaga pakaian 

PUTRAJAYA: Seorang peniaga didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis lepas selepas mengaku bersalah membuat representasi mengelirukan berhubung barangan yang dibekalkan kepada pengguna.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata kes itu berpunca daripada aduan seorang pengguna yang menerima pakaian jenis jubah, sedangkan barangan yang diiklankan dan sepatutnya dibekalkan ialah baju kurung.

“Perbuatan itu adalah suatu representasi mengelirukan berhubung barangan yang dibekalkan kepada pengguna.

“Susulan kejadian pada 27 Feb 2024, siasatan telah dijalankan oleh KPDN sehingga membawa kepada tindakan pendakwaan terhadap individu berkenaan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10(1)(a), Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(1)(b) akta yang sama. 

Azman berkata mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap tertuduh dan denda itu telah dijelaskan pada hari yang sama.

Beliau berkata KPDN memandang serius sebarang bentuk representasi palsu atau mengelirukan dalam urus niaga, khususnya membabitkan pengiklanan dan pembekalan barangan yang tidak menepati keterangan seperti ditawarkan kepada pengguna.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan peniaga supaya mengamalkan urus niaga yang beretika, telus dan bertanggungjawab dengan memastikan barangan yang dibekalkan selaras dengan maklumat serta keterangan dalam pengiklanan.

“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang memperdaya pengguna dan akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan bagi memastikan hak serta kepentingan pengguna sentiasa terpelihara,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved