
KUALA LUMPUR — Tafsiran peruntukan perlembagaan menyatakan hanya individu sebenar dapat melafazkan kalimah Syahadah, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan ibadah haji yakni perkara-perkara yang merupakan rukun agama Islam.
Ia bagaimanapun tidak tertakluk kepada sesebuah syarikat yang tidak mempunyai kapasiti untuk bertaubat seperti yang dicadangkan oleh fatwa itu.
Dalam menyampaikan ringkasan penghakiman majoriti, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) dan pengasas bersamanya Zainah Mahfoozah Anwar, dalam tindakan mereka yang mencabar fatwa dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.
Panel empat hakim diketuai Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 3-1 mengetepikan fatwa berkenaan, sejauh mana ia terpakai kepada syarikat dan institusi.
Hakim hakim dalam panel itu terdiri daripada Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Rayuan itu pada mulanya didengar oleh panel lima hakim, namun Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil telah bersara.
Penghakiman hari ini disampaikan mengikut Seksyen 78(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, yang membenarkan hakim yang tinggal untuk menyampaikan penghakiman.
Menurut Tengku Maimun, ungkapan 'menganuti agama Islam yang dinyatakan dalam Butiran 1, Senarai II, Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, hanya merujuk kepada ‘orang sebenar’ (natural persons) dan bukan kepada entiti ‘buatan/tiruan’ (artificial) seperti sebuah syarikat.
“Kami mendapati sesebuah syarikat tidak boleh ‘menganut’ agama Islam untuk ia diklasifikasikan secara sah sebagai ‘orang yang menganut agama Islam’,’’ katanya.
Tengku Maimun memberitahu, tiada perlu keperluan untuk menyingkap tabir perbadanan (lifting of corporate veil) kerana sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi semestinya digerakkan oleh individu-individu.
Mana-mana individu, katanya, yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut, adalah kekal terikat dengan fatwa tersebut di bawah perenggan 1 dan 4.
“Hakikat ini adalah sangat jelas dalam fatwa tersebut di mana ia juga secara nyata membezakan antara individu (secara sah) dan syarikat (secara tidak sah).
“Sehubungan dengan itu, tidak timbul juga soal sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi tidak patut dibiarkan tanpa bertanggungjawab atas perbuatan-perbuatan yang melanggar fatwa tersebut.
“Kebertanggungjawaban atas apa-apa pelanggaran fatwa tersebut adalah sedia terletak di bahu individu-individu yang menggerakkan syarikat, pertubuhan atau institusi tersebut,’’ katanya.
Beliau juga memberitahu, pandangan itu dikuatkan oleh perenggan empat fatwa tersebut yang hanya menghendaki mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama bertaubat dan kembali ke jalan Islam. - 19 Jun, 2025
The post Individu Islam kekal tertakluk pada fatwa, tidak terpakai pada pertubuhan appeared first on Scoop.


