
Individu yang memijak hiasan perayaan (kolam) Deepavali seperti yang tular baru-baru ini dilaporkan telah digantung kerja sementara menunggu siasatan lanjut pihak berkuasa.
KPJ Healthcare dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya turut membuat permohonan maaf secara terbuka atas isu tular berkenaan yang dipercayai menyentuh sensitiviti kaum.
“KPJ Healthcare ingin memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia, khususnya kepada masyarakat kaum India, berkaitan dengan video yang telah tular di salah satu premis kami,” maklum kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, sebagai sebuah institusi penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, pihaknya juga akan sentiasa menyantuni dan menghormati kepelbagaian budaya di Malaysia.
“Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa KPJ Healthcare tidak membenarkan tindakan sedemikian dan sama sekali tidak mencerminkan budaya, nilai atau amalan kami,” katanya lagi.
Sementara itu difahamkan, pihaknya turut akan berganding bahu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam menyiasat insiden tersebut.
“Kami kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu ini dan pihak terbabit telah digantung kerja sementara menunggu siasatan lanjut.
“Kami juga telah membuat laporan polis mengenai insiden tersebut dan akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berkaitan perkara ini,” tambahnya.
Semalam, tular satu video di media sosial memaparkan seorang lelaki dilihat memijak dan berjalan di atas hiasan perayaan (kolam) Deepavali di sebuah hospital swasta di Klang.
Tindakan lelaki tersebut bagaimanapun mengundang kecaman orang ramai kerana dipercayai tidak menghormati budaya kaum lain, selain turut disyaki menyentuh sensitiviti perkauman.
Dalam satu kenyataan semalam, KPJ Healthcare turut menegaskan mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang tidak profesional atau jelik daripada mana-mana kakitangan dan akan menjalankan siasatan dalam.
Sumber: KPJ Healthcare
The post Individu Pijak Kolam Deepavali Digantung Kerja, KPJ Mohon Maaf appeared first on Siakap Keli.


