Individu tidak mahu ikut prinsip Rukun Negara tidak layak digelar warganegara - Agong

LocalPolitics
1 Jun 2026 • 11:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Individu tidak mahu ikut prinsip Rukun Negara tidak layak digelar warganegara - Agong
Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda di Istana Negara. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini bertitah bahawa mana-mana individu yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara, tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia.

Seri Paduka Baginda bertitah Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1970, merupakan aku janji dan ikrar setiap warga Malaysia bagi membina semula perpaduan kaum serta menjamin keharmonian masyarakat.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak, agar menghayati setiap prinsip Rukun Negara dan menjadikannya amalan dan garis panduan hidup sebagai rakyat Malaysia.

"Oleh yang demikian, jika ada mana-mana rakyat malaysia yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara tersebut, saya menasihati agar dia tidak layak di gelar sebagai warganegara Malaysia,” titah Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda bertitah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta perwakilan asing.

Yang di-Pertuan Agong bertitah setiap rakyat harus bersatu hati, bertolak ansur dan saling hormat menghormati serta berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara.

Titah Seri Paduka Baginda perpaduan adalah asas kekuatan negara yang menjamin kemajuan ekonomi, keharmonian kaum dan kestabilan negara.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah semua pihak perlu mengambil iktibar daripada sejarah hitam negara, peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang tercetus apabila ada pihak yang bertindak keterlaluan, menghina orang lain, dan hilang rasa hormat kepada bangsa dan ketuanan negara ini.

"Peristiwa ini (13 Mei) telah meruntuhkan perpaduan rakyat danmenghancurkan kestabilan negara. Jangan sampai pisang berbuah dua kali," titah Sultan Ibrahim.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah kebebasan bersuara di media sosial tidak seharusnya menjadi medan untuk menabur fitnah dan kebencian dalam kalangan rakyat.

Titah Sultan Ibrahim, keadaan bertambah rumit apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) disalahgunakan untuk menghasilkan berita palsu dengan suara dan gambar tiruan menerusi video 'deepfake' di media sosial.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa dukacita apabila gambar Seri Paduka Baginda sendiri

telah digunakan dalam video dan kandungan palsu untuk mengelirukan orang ramai.

Justeru, Sultan Ibrahim menitahkan pihak berkuasa untuk terus meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan bagi membendung perkara tersebut.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima Darjah, Bintang dan Pingat Persekutuan pada tahun ini.

Yang di-Pertuan Agong mengingatkan kepada penerima bahawa anugerah berkenaan bukan untuk bermegah-megah, tetapi hendaklah dijadikan sebagai dorongan untuk terus ikhlas berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

"Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan acara sambutan hari ini.

"Saya dan isteri merakamkan berbanyak terima kasih di atas ucapan dan doa daripada seluruh rakyat yang mengiringi setiap langkah saya dalam memikul tugas dan amanah sebagai ketua negara.

"Marilah kita berdoa, semoga negara kita Malaysia sentiasa dilimpahi rahmat, keamanan, dan kemakmuran, serta rakyatnya terus hidup harmoni, sejahtera, dan bersatu-padu," titah Seri Paduka Baginda.

Istiadat pengurniaan itu merupakan kali ketiga disempurnakan Sultan Ibrahim sejak Seri Paduka Baginda ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024.

Secara keseluruhan, seramai 161 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong tahun ini. - Bernama