
Beberapa tahun yang lalu, kerajaan Indonesia melalui Kementerian Komunikasi dan Informatika (Kominfo) mereka telah memperkenalkan sebuah platform pendaftaran syarikat pengendali perkhidmatan digital yang dinamakan Penyelenggara Sistem Elektronik Lingkup Privat (PSE) yang mewajibkan semua syarikat perkhidmatan digital dan atas talian dari dalam dan luar negara untuk dibenarkan beroperasi di negara tersebut.
Terkini, Menteri Kominfo Johnny G. Plate telah mengatakan bahawa syarikat-syarikat perkhidmatan atas-talian dan digital mempunyai sehingga 20 Julai ini untuk mendaftar perkhidmatan mereka pada platform PSE tersebut sebelum ia akan dihalang akses di negara tersebut bermula 21 Julai.
Menurut laporan CNN Indonesia, semua syarikat digital yang mempunyai pengguna di negara tersebut, tidak kira syarikat tempatan ataupun antarabangsa wajib mendaftar perkhidmatan-perkhidmatan mereka untuk memastikan akses kepada platform mereka tidak dihalang.

Syarikat-syarikat digital yang perlu mendaftar untuk permit PSE ini adalah syarikat-syarikat digital yang menawarkan perkhidmatan pembelian dan penjualan barang ataupun perkhidmatan, syarikat-syarikat yang memproses maklumat kewangan, syarikat-syarikat yang menyimpan data berkenaan jual-beli dan sektor kewangan dan juga syarikat yang menawarkan pembelian dalam aplikasi.
Buat masa ini, syarikat-syarikat seperti Spotify, Gojek, Tokopedia, Traveloka, TikTok, DailyMotion dan Linktree sudahpun berdaftar di platform PSE tersebut, manakala Google, Meta, Twitter, Netflix, PUBG Mobile dan Mobile Legends belum lagi berdaftar.
Mereka masih lagi mempunyai kira-kira 2-3 hari lagi untuk mendapatkan permit PSE ini, yang mana Menteri Kominfo mengatakan bahawa pendaftaran pada platform tersebut cukup mudah dan cepat sekali untuk dilakukan.
Sekiranya syarikat-syarikat ini tidak berdaftar menjelang 20 Julai, kesemua rakyat Indonesia rata-rata tidak akan boleh mengakses platform seperti Google, YouTube, Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter dan sebagainya pada 21 Julai ini.


