
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia berjaya memadamkan empat kebakaran hutan dan tanah yang memusnahkan keseluruhan 16 hektar kawasan di empat wilayah di Pulau Jawa dan Sulawesi Selatan.
Portal berita Aktual pada Rabu melaporkan kebakaran berlaku di Jawa Tengah, Sulawesi Selatan, Jawa Barat dan Jawa Timur, memetik Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB).
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Dodi Yuleova berkata, kebakaran terbesar melibatkan kawasan seluas tujuh hektar di Sulawesi Selatan, manakala kebakaran seluas lima hektar berlaku di Jawa Tengah pada Selasa.
Kedua-dua kebakaran berjaya dikawal oleh pasukan kecemasan yang digerakkan secara bersama.
Di Jawa Barat, kebakaran padang rumput seluas tiga hektar di lereng Gunung Picung berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas operasi bersama melibatkan petugas pengurusan bencana tempatan, polis, anggota bomba dan penduduk.
Sementara itu, satu lagi kebakaran memusnahkan kawasan seluas satu hektar yang ditumbuhi pokok sono dan semak di Gunung Jabung, Jawa Timur berjaya dipadamkan petugas.
Pihak berkuasa berkata, kebakaran yang berlaku sejak 3 Ogos lalu telah memusnahkan kira-kira 742 hektar kawasan di Taman Negara Bromo Tengger Semeru, Jawa Timur.
Dodi memberi amaran kebakaran hutan dan tanah membawa risiko besar bukan sahaja terhadap alam sekitar, malah turut menjejaskan kualiti udara, kesihatan awam, kestabilan ekonomi dan kehidupan sosial harian penduduk di kawasan terjejas.
Pegawai pengurusan bencana turut menggesa orang ramai supaya terus berwaspada sepanjang musim kemarau yang sedang berlangsung, tidak menggunakan api untuk membersihkan kawasan tanah serta segera melaporkan sebarang titik panas yang dikesan kepada pihak berkuasa tempatan bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
The post Indonesia berjaya padam empat kebakaran hutan di empat wilayah appeared first on Utusan Malaysia.
