Indonesia digesa sokong kelancaran urusan import dan eksport termasuk di sempadan - Mohamad

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 6:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Indonesia digesa sokong kelancaran urusan import dan eksport termasuk di sempadan - Mohamad Image from: Indonesia digesa sokong kelancaran urusan import dan eksport termasuk di sempadan - Mohamad amree19/11/2026 - 18:05 MOHAMAD Sabu (kanan) berbincang dengan Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya Kusumo dalam sesi pertemuan. - Gambar ihsan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov — Perdagangan pertanian Malaysia dan Indonesia meningkat 16% kepada RM20.95 bilion tahun lalu, mendorong Malaysia meminta sokongan negara jiran itu untuk mempermudahkan kelancaran urusan import dan eksport, termasuk di kawasan sempadan.

 

Permintaan itu dibangkitkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya Kusumo di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

 

Menurut beliau, sesi pertemuan berkenaan menjadi platform untuk kedua-dua negara membincangkan kerjasama dua hala dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

 

Mohamad berkata, sebagai negara berjiran yang mempunyai hubungan perdagangan erat, kerjasama Malaysia dan Indonesia penting bagi memastikan kelancaran serta kemampanan rantaian bekalan makanan.

 

Keperluan memperkukuh kerjasama itu juga semakin penting dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global yang boleh memberi kesan kepada bekalan makanan dan perdagangan antara negara.

 

Mohamad Sabu_DagangNews2026

 

Dalam pertemuan sama, kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin, khususnya dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

 

Tambah Mohamad, kerjasama berkenaan diharap akan dapat membuka lebih banyak lagi peluang perdagangan serta memberikan manfaat secara bersama kepada Malaysia dan Indonesia.

 

Berdasarkan statistik, perdagangan pertanian dua hala antara kedua-dua negara mencatatkan peningkatan 16% kepada RM20.95 bilion pada 2025, berbanding RM18.06 bilion pada 2024.

 

Pertumbuhan itu mencerminkan perkembangan positif hubungan perdagangan sektor pertanian, sekali gus mengukuhkan kepentingan kerjasama bagi melancarkan urusan import dan eksport antara kedua-dua negara.

 

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi kementerian berkenaan, Shamsul Akbar Sulaiman. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved