Indonesia gesa Malaysia, Singapura bantu tangani kebakaran Kalimantan

LocalEnvironment
23 Aug 2026 • 3:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Indonesia gesa Malaysia, Singapura bantu tangani kebakaran Kalimantan

JAKARTA: Seorang ahli Parlimen Indonesia menggesa Malaysia dan Singapura supaya turut sama mencegah dan menangani isu kebakaran hutan di Kalimantan, bukan sekadar mengemukakan bantahan mengenai jerebu yang menjejaskan rantau itu.

Pengerusi Suruhanjaya VIII Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Marwan Dasopang menegaskan syarikat dan individu dari kedua-dua negara jiran berkenaan turut memiliki serta mengendalikan ladang kelapa sawit di wilayah terjejas.

Beliau menjelaskan, usaha memadamkan kebakaran di kawasan luas seperti Kalimantan merupakan cabaran yang amat kompleks untuk ditangani Indonesia secara bersendirian.

“Malaysia dan Singapura juga mempunyai ladang di Indonesia. Mereka tidak sepatutnya hanya membantah, tetapi mesti turut serta dalam usaha pencegahan,” katanya pada Jumaat.

Marwan, yang juga ahli politik daripada Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), menambah bahawa Indonesia sentiasa terbuka untuk menerima bantuan. Bagaimanapun, kedua-dua negara perlu mengakui peranan serta kebertanggungjawaban mereka menerusi aktiviti perladangan di kawasan berkenaan.

“Dari sudut hubungan diplomatik, kita boleh memohon maaf dan meminta bantuan. Namun dari segi aktiviti di lapangan, mereka juga mempunyai peranan di situ,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kebimbangan terhadap kebakaran hutan dan tanah yang semakin merebak di sebahagian wilayah Kalimantan, sekali gus menjejaskan kualiti udara serta mengganggu laluan pengangkutan tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua DPR Indonesia, Maharani, menggesa kerajaan supaya membuat pemetaan titik panas secara nyata dan mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan pembakaran, terutamanya di kawasan perladangan kelapa sawit.

Beliau menegaskan keutamaan harus diberikan mengikut tahap pengeringan tanah gambut, keparahan musim kemarau serta jaraknya dengan kawasan perumahan penduduk.

“Perlindungan kepada orang awam mesti diberi keutamaan yang sama seperti usaha pemadaman api,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Beliau turut meminta pihak berkuasa menyerapkan lebih ramai anggota pemadam kebakaran, menyediakan pam air, lori tangki serta sokongan pemadaman udara di daerah yang berisiko tinggi.

Mengenai kesan jerebu rentas sempadan yang sering menjadi isu diplomatik saban tahun, pihak berkuasa Indonesia mengesahkan bahawa punca utama kebakaran berpunca daripada cuaca kering melampau serta amalan pembukaan tanah secara membakar.

Syarikat mahupun individu yang didapati bersalah boleh berdepan dengan tindakan undang-undang serta sekatan pentadbiran. -AGENSI

The post Indonesia gesa Malaysia, Singapura bantu tangani kebakaran Kalimantan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved