
JAKARTA: Indonesia meluluskan permit untuk 35 pesawat berdaftar asing bagi menyokong operasi kecemasan memadam kebakaran hutan dan tanah dari udara di seluruh Kalimantan.
Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandhi berkata, langkah itu diambil ketika pihak berkuasa tempatan berusaha mengawal kebakaran di beberapa kawasan utama susulan kekurangan peralatan khas pemadaman kebakaran dalam negara.
“Menangani kebakaran ini menjadi keutamaan utama ketika ini. Dalam jangka pendek, kebakaran perlu dipadamkan dengan segera,” katanya selepas mesyuarat kerja bersama Suruhanjaya V Dewan Perwakilan Rakyat (DPR RI) di Jakarta kelmarin.
Pesawat khas itu digerakkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) dengan sokongan kerajaan pusat.
Dudy berkata, pesawat yang dibawa masuk itu kebanyakannya terdiri daripada helikopter pengangkut berat yang mampu menjalankan operasi pengeboman air secara tepat di kawasan terpencil.
Armada asing itu dikendalikan oleh 11 pemegang Sijil Pengendali Udara (AOC) tempatan, dengan pesawat berdaftar di lapan negara termasuk Australia, Russia, Amerika Syarikat (AS), Ukraine, New Zealand, Laos, Vietnam dan Kanada.
Kementerian Pengangkutan mengesahkan proses kelulusan dipercepatkan, pemantauan keselamatan penerbangan serta sokongan operasi di darat disediakan bagi memastikan pesawat berkenaan dapat terus beroperasi.
“Kita memerlukan semua infrastruktur yang diperlukan untuk memadamkan kebakaran, termasuk pesawat asing yang tidak dimiliki Indonesia ketika ini,” kata Dudy.
Indonesia mempergiatkan usaha menangani kebakaran hutan dan tanah selepas hampir 286,000 hektar kawasan di seluruh negara terbakar antara Januari hingga akhir Ogos 2026.
BNPB melaporkan lebih 48,889 hektar kawasan terbakar di enam wilayah keutamaan, manakala sistem SIPONGI kendalian Kementerian Perhutanan merekodkan lebih 1,200 titik panas aktif pada paras tertinggi di Kalimantan dan Sumatera.
Kebakaran besar itu didorong tempoh cuaca kering berpanjangan akibat fenomena El Nino dan diburukkan lagi oleh kegiatan pembukaan tanah secara haram.- AGENSI
The post Indonesia kerah pesawat asing padam kebakaran Kalimantan appeared first on Utusan Malaysia.




