
JAKARTA: Menteri Perhubungan Indonesia, Dudy Purwagandhi menegaskan kerajaan akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung nahas feri Virgo Transport 8 di perairan Masalembo, Laut Jawa pada Ahad yang membawa 243 penumpang.
“Proses itu akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Nasional Keselamatan Transportasi (KNKT) mengikut bidang kuasanya,” kata Dudy pada sidang media mengenai perkembangan pengendalian kemalangan kapal Virgo Transport 8 di Pelabuhan Trisakti, Banjarmasin, Kalimantan Selatan.
Setakat ini, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) mengesahkan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) gabungan sudah menyelamatkan 113 penumpang, terdiri daripada 107 orang yang terselamat selain enam yang maut, manakala 130 lagi masih dalam proses pencarian di lokasi kejadian.
Basarnas mengerahkan 15 aset laut dan udara daripada pasukan gabungan bagi memaksimumkan operasi pencarian di lokasi kejadian di perairan Masalembo, terdiri daripada 11 kapal, sebuah helikopter serta tiga pesawat.
Dudy meminta semua pihak memberi ruang kepada KNKT untuk menjalankan tugas secara profesional, bebas dan berasaskan data dan fakta bagi memastikan punca kemalangan dapat dikenal pasti secara objektif selain dijadikan asas untuk menilai semula aspek keselamatan pengangkutan.
Menurut beliau, hasil siasatan KNKT akan menjadi asas kepada penambahbaikan pengurusan keselamatan pengangkutan pada masa hadapan, supaya penemuan dan faktor penyebab kemalangan dapat digunakan untuk meningkatkan piawaian keselamatan serta mencegah kejadian serupa daripada berulang.
Kementerian Perhubungan bersama semua pihak berkepentingan terus memantau pengendalian insiden berkenaan sehingga semua peringkat termasuk usaha mencari dan menguruskan semua mangsa kemalangan kapal Virgo Transport 8 dilakukan, tambahnya.
Dudy menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada semua keluarga mangsa dan memberi jaminan bahawa kerajaan bersama semua pihak berkepentingan akan terus memantau insiden berkenaan.
Kapal Virgo Transport 8 membawa 243 penumpang dilaporkan terputus hubungan di perairan Laut Jawa pada Ahad pukul 2 pagi waktu tempatan.
Ketika kejadian, ia dalam pelayaran dari Surabaya menuju Banjarmasin selepas bertolak pada Sabtu, menyebabkan Basarnas memperhebat operasi mencari dan menyelamat dengan mengerahkan aset udara serta kapal mencari mangsa. – AGENSI
The post Indonesia laku siasatan menyeluruh feri penumpang terbalik – Menteri appeared first on Utusan Malaysia.


