
JAKARTA: Indonesia bercadang menaikkan bayaran Visa Ketibaan (VoA) daripada 500,000 rupiah (RM114) kepada sehingga 1 juta rupiah (RM228.90), dengan kadar baharu berbeza mengikut kaedah permohonan.
Ketua Pengarah Imigresen, Hendarsam Marantoko berkata, kadar VoA semasa dianggap terlalu rendah susulan turun naik nilai rupiah serta kos pengurusan visa.
“Visa Ketibaan kami ketika ini hanya 500,000 rupiah. Mengambil kira turun naik kadar pertukaran mata wang, kami merasakan jumlah itu terlalu rendah dan perlu diselaraskan,” katanya pada sidang media di Jakarta Selatan, semalam.
Mengikut cadangan itu, pelancong asing yang memohon Visa Ketibaan elektronik (e-VoA) sebelum berlepas ke Indonesia akan dikenakan bayaran 750,000 rupiah (RM171.50).
Bagaimanapun, mereka yang memohon VoA selepas tiba di Indonesia perlu membayar sejuta rupiah.
Cadangan itu dibuat ketika pihak imigresen menilai semula kadar bayaran visa bagi mengambil kira kos operasi serta perubahan nilai mata wang.
Hendarsam berkata, cadangan itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan hasil negara, malah menggalakkan pelawat asing melengkapkan urusan imigresen sebelum berlepas.
Kerajaan berharap penggunaan sistem permohonan dalam talian yang lebih meluas dapat mengurangkan kesesakan dan barisan panjang di lapangan terbang, khususnya di kaunter imigresen.
“Intinya, jika mereka memohon VoA secara dalam talian dari negara asal, mereka membayar 750,000 rupiah. Jika memohonnya di lokasi ketibaan, mereka membayar 1 juta rupiah,” katanya.
Ketika ini, VoA Indonesia berharga 500,000 rupiah dan membolehkan warga asing yang layak tinggal selama 30 hari. Visa itu secara amumnya boleh dilanjutkan sekali lagi untuk tempoh 30 hari.
Cadangan kenaikan itu bermakna bayaran VoA ketika ketibaan akan meningkat dua kali ganda daripada kadar semasa. Pihak imigresen bagaimanapun belum mengumumkan bila kadar baharu itu akan berkuat kuasa.
Cadangan berkenaan juga perlu melalui proses kelulusan kerajaan yang berkaitan sebelum dapat dilaksanakan.
Kenaikan yang dirancang itu dibuat ketika Indonesia terus giat mempromosikan sektor pelancongan, selain berusaha mempermudah urusan imigresen bagi pelawat antarabangsa.
Kerajaan semakin menggalakkan pelancong menggunakan sistem e-VoA dalam talian bagi memendekkan tempoh pemprosesan di lapangan terbang.
Hasil Negara Bukan Cukai (PNBP) daripada perkhidmatan visa meningkat 6.42 peratus tahun ke tahun kepada 2.81 trilion rupiah pada separuh pertama 2026.
The post Indonesia naikkan bayaran visa dua kali ganda appeared first on Utusan Malaysia.

